Sabah peruntuk RM248 juta babit 1,969 projek tingkat kualiti prasarana sekolah
- Nov 30, 2022
- 1 min read

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM248 juta membabitkan 1,969 projek untuk meningkatkan kualiti prasarana sekolah di Sabah, sejak 2020 sehingga tahun ini.
Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pihaknya turut menyediakan beberapa inisiatif bantuan berkaitan kemudahan sekolah negeri ini.
Katanya, antaranya ialah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang juga bantuan pembekalan alat kelengkapan sekolah.
"Bagi inisiatif ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM12.6 juta yang akan memberi manfaat kepada 1,500 sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Annuar Ayub (STAR-Liawan) berhubung peruntukan khas penambahbaikan kemudahan sekolah pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, pihaknya juga menyalurkan bantuan peruntukan secara sekali bayar, Bantuan Aktiviti Guru dan Ibu Bapa Sabah (BAGUS) sebanyak RM2,000 kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
"Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 1,500 PIBG sekolah di seluruh Sabah dengan jumlah peruntukan RM3 juta. Melalui bantuan ini, kementerian yakin ia dapat digunakan dengan sebaiknya untuk menambah baik kemudahan di sekolah, selain untuk melaksanakan aktiviti PIBG di sekolah berkenaan.
"Di samping itu, kementerian juga merancang untuk menyediakan peruntukan bagi pembaikan dan penyelenggaraan kecil sekolah," katanya.
Sumber: Berita Harian





Comments