Rumah mampu milik: Perak teliti syarikat pemaju


IPOH - Kerajaan Perak meneliti secara terperinci syarikat pemaju sebelum bekerjasama agensi kerajaan negeri untuk membangunkan rumah mampu milik untuk rakyat.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sejak mengambil alih kerajaan, pihaknya menerima banyak cadangan daripada pelbagai syarikat untuk membantu membangunkan negeri ini.


Katanya, setiap cadangan itu diteliti dari sudut kemampuan dan kebolehan syarikat tersebut sebelum membenarkan agensi negeri ini bekerjasama dengan mereka.


"Banyak syarikat sebenarnya sejurus kita ambil alih kerajaan negeri minat untuk membangunkan negeri ini. Namun bagi pihak kerajaan negeri, kita akan meneliti setiap cadangan syarikat pemaju, kebolehan dan kemampuan syarikat.


"Selepas itu, baru kita putuskan syarikat boleh bekerjasama dengan agensi agar tidak berlaku projek tergendala dan sebagainya," katanya kepada pemberita hari ini.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Agensi Kerajaan Kerajaan Negeri Perak dan Syarikat Pemaju Perumahan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.


Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong berkata, kesemua projek kerajaan negeri dibuat tender terbuka dan syarikat yang dipilih juga melalui proses tersebut.


Menurutnya, pemilih bukan berdasarkan syarikat yang paling murah tetapi beberapa faktor lain turut dipertimbangkan seperti kekuatan kewangan syarikat, latar belakang syarikat, pengalaman dan kepakaran yang mereka ada.


"Projek-projek perumahan sakit biasanya meletakkan harga murah tetapi tidak berkemampuan siapkan projek.


"Ada segelintir pihak cuba dapatkan projek, bila dapat mereka akan lepaskan kepada pihak lain untuk mendapatkan keuntungan atas angin dan kita tidak akan membenarkan perkara ini berlaku," katanya.


Mengenai majlis tersebut, Ahmad Faizal berkata, menerusi MoU itu, dijangka dalam tempoh dua hingga tahun sebanyak 2,000 unit rumah mampu milik akan siap dibina di negeri dalam usaha kerajaan Perak mencapai sasaran 50,000 unit rumah kategori itu dalam masa lima tahun.


Dalam pada itu, majlis tersebut membabitkan MoU Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bersama empat syarikat pemaju iaitu Syarikat King Ong Sdn Bhd, Tract Evo Sdn Bhd, Mimbar Nusantara Homes Sdn Bhd dan Syarikat Bimbingan Simfoni Sdn Bhd.


Sumber: Sinar Harian

#evolusibina #perumahan #Perak

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.