top of page

Rumah Kekal Banjir alternatif elak kediaman rosak ditenggelami air


Rumah Kekal Banjir alternatif elak kediaman rosak ditenggelami air Berita Harian www.bharian.com.my
Rumah Kekal Banjir (RKB) yang dibina di Kampung Tanjung Belengu, Temerloh. - FOTO KKR.

TEMERLOH: Pembinaan Rumah Kekal Banjir (RKB) yang direka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), menjadi alternatif bagi mengelak kediaman penduduk di kawasan berisiko atau 'hotspot' banjir musnah ditenggelami air.


Berkonsep 'rumah tinggi' yang dibina di atas tiang pelbagai ketinggian merangkumi 2.1 meter (m), 2.4m dan 2.6m, kediaman berkenaan direka khusus untuk mengelak rumah tenggelam akibat banjir besar.


Ketika ini, RKB yang dilengkapi tiga bilik, berkeluasan 14.7m panjang dam 6m lebar dan dilengkapi mempunyai tangki septik serta sambungan bekalan elektrik dan air, hanya terdapat di Pahang, iaitu enam di Temerloh, empat di Raub dan dua di Pekan.


Pengarah JKR Pahang, Datuk Ir Hafizah Zakaria, berkata pihaknya terbabit secara langsung dengan rekaan RKB untuk menggantikan kediaman penduduk yang hanyut atau musnah akibat banjir.


"RKB adalah projek rumah kurniaan Yayasan Sultan Abdullah (YASA). JKR hanya beri khidmat nasihat teknikal reka bentuk, manakala Pejabat Tanah dan Daerah terbabit dengan pemilihan kontraktor.


"Rumah ini dibina dan diserahkan kepada mangsa banjir lengkap dengan perabot sekali. Anggaran kos projek ini, termasuk kelengkapan dan perkakasan adalah RM100,000 bagi setiap rumah.


"Pemilik boleh terus ambil kunci dan tinggal di rumah berkenaan. Yang menerima bantuan rumah banjir di Pahang ini sangat bertuah," katanya ketika menyampaikan taklimat sewaktu lawatan ke sebuah RKB di Kampung Tanjung Belengu, di sini hari ini.


Lawatan itu antara program dalam Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) selama tiga hari bermula semalam. Ia diketuai Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof membabitkan jelajah ke Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.


Sementara itu, Fadillah ketika ditanya sama ada KKR bercadang meluaskan RKB di lokasi berisiko banjir di negeri lain, berkata ia bergantung pada inisiatif kerajaan negeri dan kementerian tiada masalah bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menggunakan konsep berkenaan.


"Kita akan beri kerjasama kepada semua pihak, pertama adalah dari segi reka bentuk dan kedua, nasihat teknikal, termasuk kalau terpaksa terlibat dalam pelaksanaan pun, kita sedia beri khidmat kepada sesiapa yang memerlukan.


"Kalau di (Kampung Iboi) Baling pun, kita bersedia sebenarnya untuk membantu," katanya.


Sumber: Berita Harian


 
 
 

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page