KUCHING, 11 Nov: Kerajaan Sarawak akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar dengan RM10.9 bilion dicadangkan untuk perbelanjaan pembangunan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, daripada peruntukan tersebut, RM6.8 bilion atau 62 peratus diperuntukkan kepada inisiatif pembangunan luar bandar.
“Kita mahu memastikan rakyat luar bandar juga menikmati hasil pembangunan selari dengan kemajuan rakan mereka di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurutnya, untuk mempercepat pembangunan luar bandar dan merapatkan jurang infrastruktur kritikal, beberapa inisiatif, program serta projek khusus akan dibangunkan.
“Ia termasuk pelaksanaan Projek Rakyat dengan peruntukan RM650 juta, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) RM420 juta dan Program Projek Khas RM265 juta,” ujarnya.
Abang Johari menjelaskan, sejumlah RM300 juta diperuntukkan kepada sembilan agensi pembangunan wilayah dan RM742 juta disediakan di bawah pembiayaan alternatif untuk menyokong pelaksanaan pelbagai program dan projek.
“Ia termasuk pembinaan jalan, bekalan elektrik dan akses air yang penting untuk menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat ekonomi.
“Projek ini dijangka mewujudkan manfaat ekonomi yang besar untuk negeri, mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan dan merangsang pertumbuhan dalam sektor pembinaan serta perkhidmatan,” jelasnya.
Sementara itu beliau berkata, kira-kira RM1 bilion akan diperuntukkan untuk melaksanakan dan menyiapkan pelbagai projek jalan serta jambatan.
“Antara projek tersebut termasuk pembinaan Jalan Batu Kawa, jalan baharu dari Ulu Sungai Merah ke Jalan Tunku Abdul Rahman, jalan utama dari Pekan Lapok ke Gejong Long Teran Batu, Jalan Nanga Ibau, Jalan Serian – Gedong – Samarahan, Jalan Nanga Kesit – Ulu Lemanak – Engkari serta Jambatan Sungai Limbang,” kata Abang Johari.
Di bawah pembiayaan alternatif katanya, sebanyak RM4 bilion akan disediakan pada tahun depan untuk pelaksanaan projek infrastruktur besar yang sedang berjalan dan baharu.
“Ia melibatkan jalan pesisir Sarawak, Second Trunk Road, Jalan Sultan Tengah dan Jambatan Baharu Santubong, Lebuh raya Pantai Utara, sambungan Jalan Miri – Marudi, Marudi – Mulu dan Long Panai – Long Lama, Jalan Gedong ke Kampung Samalatong serta Lebuh raya Gedong – Serian,” tambahnya.
Sumber: TVS
Comments