top of page

RM150 juta untuk baiki, turap jalan guna kaedah CMA


RM150 juta untuk baiki, turap jalan guna kaedah CMA
FOTO Ihsan MBI



RM150 juta untuk baiki, turap jalan guna kaedah CMA

Ipoh: Kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan menggunakan kaedah 'asfalt terubahsuai getah bekuan' (CMA) di seluruh negara.


Ketua Unit Kejuruteraan Lembaga Getah Malaysia (LGM) Dr Nazirah Ahmad berkata, jumlah itu mampu menampung kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan membabitkan jajaran sepanjang 270 kilometer (km).


"Pada 2019, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan RM100 juta khusus untuk kerja pembaikan dan penurapan membabitkan jajaran 205km (seluruh negara) menggunakan kaedah CMA.


"Untuk tahun ini, kerajaan sekali lagi menyalurkan peruntukan bagi proses sama dilakukan membabitkan jajaran 65km di seluruh negara," katanya ditemui pada Program Lawatan Tapak Penggunaan Teknologi CMA di Kawasan Perindustrian Tasek di sini, hari ini.


CMA adalah teknologi baharu penurapan jalan menggunakan bitumen (tar) terpinda dengan campuran getah bekuan sebagai bahan campuran asfalt yang boleh meningkatkan kualiti serta memanjangkan jangka hayat turapan.


Dr Nazirah berkata, semua jalan yang diselenggara menggunakan teknologi CMA ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan sebagainya.


"Kerjasama ini membabitkan pembaikan dan penurapan jalan di bawah seliaan dan penyelenggaraan agensi terbabit," katanya.


Beliau berkata, objektif utama pelaksanaan kaedah CMA ini adalah untuk memperluaskan penggunaan getah sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di negara ini.


Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan penurapan menggunakan kaedah CMA di Kawasan Perindustrian Tasek, Kawasan Perindustrian IGB, Jalan Bendahara serta jalan utama Station 18.


Menurut beliau, kerja pembaikan dan penurapan di semua kawasan itu bermula hari ini, dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan depan.


"Jumlah keseluruhan jajaran yang dibaiki dan diturap adalah kira-kira 9.5km. Diharapkan pengguna jalan raya akan mematuhi arahan semasa pelaksanaan kerja di kawasan terbabit," katanya.

Sumber: Harian Metro


RM150 juta untuk baiki, turap jalan guna kaedah CMA

Comentários


bottom of page