top of page

Peruntukan bertambah, lebih banyak jalan di Sabah diturap


Peruntukan bertambah, lebih banyak jalan di Sabah diturap
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA

Peruntukan bertambah, lebih banyak jalan di Sabah diturap

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM157.8 juta kepada Sabah tahun ini, bagi kerja membaik pulih permukaan jalan menerusi skop kerja berkala turapan dan berkala bukan turapan.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sebahagian jalan Persekutuan di Sabah yang dahulu mengalami kerosakan kritikal, dapat dibaik pulih tahun ini susulan peruntukan lebih banyak berbanding 2022.


"Kos penyelenggaraan jalan yang diperuntukkan untuk jalan Persekutuan (di Sabah) pada 2022 adalah RM114.19 juta.


"Bagaimanapun, jumlah peruntukan itu (tahun ini) tidak dapat menampung kos pembaikan kerosakan jalan Persekutuan di seluruh Sabah seperti dalam senarai kerosakan jalan yang tertunggak," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) yang meminta kerajaan menyatakan langkah akan diambil bagi menyelesaikan masalah penyelenggaraan jalan raya dan lampu jalan di jalan Persekutuan di Sabah.


Sebagai langkah pencegahan, katanya, jalan Persekutuan sepanjang 1,289.14 kilometer (km) yang disenggara oleh konsesi penyenggaraan jalan Persekutuan Sabah sudah melaksanakan penyelenggaraan rutin secara bulanan dengan anggaran kos RM4 juta sebulan untuk memastikan keadaan jalan selamat.


"Ada jalan yang perlu dibina semula memandangkan jalan ini dibina lebih dari 20 tahun. Ini bermakna jangka hayatnya sudah melebihi tempoh sepatutnya dari segi reka bentuk.


"Dalam usaha ke arah keselesaan jalan raya di Sabah, kementerian berusaha menaik taraf jalan utama di Sabah melalui Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) sepanjang 210.294 km yang dalam pembinaan," katanya.


Alexander berkata, bagi penyenggaraan lampu jalan, sejumlah RM3.07 juta sudah dimanfaatkan untuk membaik pulih lampu jalan sedia ada yang rosak di jalan Persekutuan seluruh Sabah.


"Sejumlah RM700,000 sudah dimanfaatkan untuk membaik pulih lampu isyarat dan lampu jalan di jalan Persekutuan Sabah.


"Agihan peruntukan ke daerah di Sabah adalah ditentukan oleh Jabatan Kerja Raya Sabah bergantung kepada senarai keutamaan yang disusun," katanya.


Sumber: Berita Harian


Peruntukan bertambah, lebih banyak jalan di Sabah diturap


bottom of page