top of page

RM10 juta bantu selesai masalah air di Kota Tinggi


RM10 juta bantu selesai masalah air di Kota Tinggi  Utusan Malaysia www.utusan.com.my
Gambar hiasan: RM10 juta bantu selesai masalah air di Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta untuk menyelesaikan isu air yang menjadi masalah utama penduduk di kawasan Kota Tinggi.


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu untuk menyediakan projek tambahan air bersih terawat sebanyak empat juta liter sehari (MLD) sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.


Bagi penyelesaian jangka masa panjang, sebanyak RM40 juta peruntukan dimohon daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menaik taraf loji rawatan air di Kampung Gembut, dekat sini.


“Setiap kali raya, seminggu orang tak mandi itu yang saya difahamkan. Sebab itu alhamdulillah apabila berbincang dengan Bakaj dan Ranhill SAJ, kita insya-Allah ada penyelesaian jangka masa pendek dan jangka panjang.


“Jangka pendeknya, peruntukan sebanyak RM10 juta untuk projek tambahan empat MLD air bersih terawat. Itu jangka pendek dan dengan penyelesaian ini akan pastikan raya akan datang orang Kota Tinggi boleh mandi, air cukup kerana tekanan air tidak serendah seperti raya sebelum ini.


“Bagi jangka masa panjang, kita minta KASA dibantu oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi untuk dapatkan peruntukan RM40 juta untuk naik taraf loji rawatan air kawasan ini. Sama-sama kita doakan supaya peruntukan dapat diluluskan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Kota Tinggi di Dewan Terbuka Komuniti Ehsan, Kampung Singapura, Tanjung Sedili hari ini.


Onn Hafiz berkata, sebanyak RM140 juta juga telah diperuntukkan Kementerian Kerja Raya bagi menaik taraf Jalan Kota Tinggi – Mersing.


Pada majlis itu Onn Hafiz turut mengumumkan beberapa peruntukan, antaranya sebanyak RM2.8 juta untuk Pantai Jason Bay bagi membangunkan tapak rekreasi di kawasan itu yang diberikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Selain itu, sebanyak RM2.9 juta diberikan untuk pembangunan gerai-gerai di kawasan Tanjung Sedili yang diberikan kementerian sama.


Seramai 199 nelayan di kawasan Kota Tinggi turut menerima bantuan melibatkan peruntukan hampir RM60,000 selain peruntukan sebanyak RM150,000 yang diluluskan untuk membina pusat pengumpulan hasil pertanian di kawasan berkenaan.


“Saya bukan datang sini untuk membeli undi. Saya rasa di peringkat negeri pilihan raya sudah selesai. Saya turun sebagai Menteri Besar untuk tunaikan janji-janji yang dibuat pada PRN baru-baru ini.


“Namun, usaha ini tidak boleh dilakukan oleh saya seorang sebab itu bila ke loji rawatan air saya libatkan agensi-agensi kerana tidak mungkin saya boleh berdiri sendiri dan semestinya perlukan bantuan agensi-agensi, pegawai daerah, semua pihak barulah boleh laksanakan terbaik untuk rakyat kita,” katanya.


Sumber: Utusan

4 views

תגובות


bottom of page