top of page

RM1.38 bilion naik taraf 291 sekolah di Sarawak



KUALA LUMPUR: Sebanyak 291 sekolah yang mempunyai bangunan daif di Sarawak sudah dinaik taraf dan dibangunkan semula membabitkan peruntukan berjumlah RM1.38 bilion, sejak 2016.


Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya, berkata pada 20 Februari tahun lalu, kerajaan bersetuju terhadap tawaran dana sebanyak RM1 bilion oleh kerajaan negeri Sarawak disalurkan bagi membaik pulih bangunan sekolah daif mengikut tiga fasa di negeri itu.


Menurutnya, dana itu digunakan untuk projek baik pulih mengikut mekanisme khusus yang dipersetujui kementerian dan kerajaan negeri itu.



"Sehingga kini, sebanyak 93 projek daripada Fasa 1 dan Fasa 2 dengan kos RM700 juta diluluskan melalui peruntukan pembangunan di bawah 'Rolling Plan' 2019-2020.


"Pelaksanaan projek adalah merangkumi pelbagai skop seperti pembinaan bilik darjah, blok pentadbiran, asrama, rumah guru, dewan makan, pusat sumber, bilik sains, tandas dan kemudahan lain," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berhubung perkembangan projek sekolah daif, di Sarawak dan kos terbabit.


Muslimin memberitahu bagi pelaksanaan Fasa 1, sehingga semalam sebanyak 21 projek berada di fasa pembinaan dan 20 projek lagi berada di fasa prabina.


"Daripada 20 projek ini, empat projek diiklankan pada 25 Julai lalu dan akan ditutup tender, Isnin ini sementara 10 projek sedang dalam proses memuktamadkan lantikan di Lembaga Perolehan dan baki enam projek dijangka ditender pada penghujung bulan depan.


"Bagi Fasa 2 pula, semua projek berada di dalam fasa prabina. Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) Sarawak sedang dalam pelaksanaan kerja ukur, penyediaan lukisan terperinci serta penyediaan dokumen tender," katanya sambil menambah, tender bagi projek itu dijangka dibuka mulai 22 Ogos ini.- BERNAMA



10 views
bottom of page