top of page

Rizab bekalan air Johor meningkat menjelang 2030



Iskandar Puteri: Rizab bekalan air negeri ini diunjurkan meningkat menjelang 2030 berikutan projek pembinaan beberapa loji rawatan air (LRA) baharu.


Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah itu sekali gus mempersiapkan negeri terhadap pertambahan permintaan bekalan air berikutan pembukaan kawasan perumahan baharu dan dalam masa sama mengelak masalah ketiadaan bekalan air.


Beliau berkata, ketika ini, empat loji baharu dan menaik taraf loji sedia ada sudah siap seperti LRA Buloh Kasap, LRA Bukit Serampang, LRA Sungai Lebam serta LRA Pemanis.


"Ranhill SAJ komited dalam menyediakan kapasiti rizab bekalan air yang mencukupi dan berusaha untuk melaksanakan beberapa program menaik taraf serta membina LRA baharu sebagaimana digariskan dalam pelan perniagaan yang diluluskan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).


"Ini termasuk projek yang sedang dalam proses pembinaan dan dilaksanakan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) seperti LRA Layang 2 (Fasa 1) yang berkapasiti 160 Juta Liter Sehari (JLH) dan LRA Pagoh berkapasiti 40 JLH serta LRA Kahang berkapasiti 40 JLH yang sedang dilaksanakan kerajaan Johor," katanya.


Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Chen Choon (PH-Jementah) dan Tan Hong Pin (PH-Skudai) yang ingin tahu tentang rizab kapasiti bekalan air sedia ada di negeri ini bagi menghadapi waktu kecemasan, pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, menerusi rekod Ranhill SAJ, sejak 2016 sehingga tahun lalu, penghasilan air terawat di negeri ini meningkat sebanyak 18.39 peratus berbanding dengan permintaan air yang turut meningkat sebanyak 20.48 peratus, dalam tempoh sama.


"Dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk di Johor, permintaan air pada tahun 2030 diunjurkan akan meningkat sehingga 28.18 peratus.


"Namun begitu, dengan projek infrastruktur yang dirancang oleh kerajaan, penghasilan air terawat pada tahun 2030 dapat diunjurkan menyaksikan peningkatan sehingga sebanyak 20.63 peratus, " katanya.


Hasni berkata, Johor memiliki beberapa sungai utama iaitu Sungai Muar, Sungai Batu Pahat, Sungai Johor, Sungai Ulu Sedili Besar, Sungai Mersing serta Sungai Endau yang menjadi sumber bekalan air mentah ke LRA.


Katanya, terdapat 45 LRA yang memperolehi sumber bekalan air permukaan (sungai dan empangan) iaitu membekalkan air bersih kepada pengguna sebanyak 663,261.14 juta liter setahun atau 1,817.15 juta liter sehari.


"Sebagai tambahan, purata hujan tahunan juga tinggi iaitu kira-kira 2,000 hingga 2,500 milimeter setahun. Secara tidak langsung, ini menjanjikan sumber air yang mencukupi bagi keperluan loji rawatan air di Johor.


"Bagaimanapun, sekiranya berlaku cuaca kering atau panas seperti fenomena El-nino, LRA yang akan terjejas adalah LRA Sungai Gembut dan LRA Lok Heng namun LRA lain, masih boleh beroperasi kerana masih mempunyai sumber air yang optimum," katanya.


Sumber: Harian Metro

9 views
bottom of page