top of page

Risiko beraras tinggi


DALAM bilik kawalan yang menempatkan Pilot Juruteknik ROV

APABILA bercerita mengenai lapangan kerja di pelantar minyak, ramai membayangkan rutin dan kerjaya paling ideal adalah menjadi jurutera cari gali.


Sedangkan lapangan itu mempunyai pelbagai skop serta bidang kepakaran dalam menyokong operasi pelantar dengan lancar.


Antara cabang kerjaya jarang diketahui ramai orang ialah Pilot Juruteknik ROV yang turut mempunyai peranan penting dalam operasi di pelantar seperti kru cari gali lain.


ROV atau 'Remotely Operated Vehicle' sangat diperlukan seawal kerja pembinaan, proses cari gali di bawah laut sehingga kepada tinjauan kerja pemeriksaan membabitkan struktur pelantar atau saluran paip gas di dasar.


Menariknya keupayaan 'robot' teknologi tinggi boleh 'mmenyelam' di dasar laut dalam tempoh lama, malah ia tahan tekanan apabila boleh berada sehingga 3,000 meter di bawah paras laut.


Perkara itu dikongsi Pengarah Teknikal dan Juruaudit ROV Rigil Sevices Sdn Bhd, Ahmad Syauqi Muslim Ahmad Kamil yang mempunyai pengalaman 13 tahun dalam skop pekerjaan itu bersama penulis dalam satu temu bual.


Sambil bercerita mengenai pengalaman lalu, dia mengakui ada waktu berdepan detik sukar menguasai bidang asing bergelar 'newbie' kerana latar belakang pendidikan beliau dalam bidang kejuruteraan kimia.


"Permulaan saya dalam bidang ini agak 'struggle' kerana bukan daripada bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik mahupun mekanikal yang sangat diperlukan untuk memahami cara kendalian teknologi ROV menggunakan gabungan antara sistem elektronik dan hidraulik.


"Dulu jumlah juruteknik dalam bidang ini sangat sedikit dan atas sebab itu ada pengecualian ketika saya dapat tawaran bekerja dalam satu projek membabitkan satu syarikat minyak dan gas tempatan.


"Saya ikuti latihan ketika dalam industri dan bernasib baik apabila berpeluang bekerja dengan syarikat pembuat ROV tempatan yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran mengenai teknologi terbabit.


"Disebabkan itu juga pendedahan saya terhadap kerjaya sebagai Pilot Juruteknik ROV lebih cepat kerana ketika itu banyak projek dan saya bekerja di bawah rakan sekerja dan penyelia mahir,"katanya turut didorong minat membuatkan kekal dalam bidang itu.


Meskipun tidak lagi bertugas di pelantar, beliau masih meneruskan kerjaya dalam lapangan sama menerusi tugas audit membabitkan perkhidmatan kontraktor serta klien terdiri daripada syarikat seperti Alam Maritim, Sapura dan banyak lagi.


Sepadan dengan bayaran lumayan iaitu boleh mencecah RM1,200 sehingga RM2,100 sehari, kata Ahmad Syauqi, Pilot Juruteknik ROV terdedah dengan persekitaran kerja yang ekstrim.


"Seperti tugas kru cari gali lain, tugas Pilot Juruteknik ROV juga mempunyai risiko tersendiri kerana membabitkan tugas mengendalikan teknologi beraras tinggi.


"Bayangkan mengendalikan ROV itu sendiri sudah mempunyai keberatan tiga tan ditambah pula dengan mesin operator lain termasuk bantuan kren dan kabel membuatkan komponen kompleks itu memerlukan voltan tinggi.


"Secara tidak langsung mereka yang mengendalikan sistem berkenaan berisiko terdedah kepada arus itu selain impak daripada persekitaran seperti gelora serta ribut kerana ada kalanya pusat kawalan daripada kapal membuatkan keadaan luar jangka," katanya.


Menceritakan pengalaman sendiri, katanya, dia nyaris mendapat kemalangan apabila soket penghubung terbuka dan melayang melepasi muka.


Namun dalam kebanyakan kes ia jarang berlaku disebabkan protokol dan prosedur keselamatan ketat.


Antara lain pengalaman tidak boleh lupa dalam tempoh enam tahun bertugas di pelantar termasuk detik beliau bertugas di luar negara.


"Kalau pengorbanan lain tentu sahaja perlu berjauhan dengan keluarga kerana 'nature' kerja sebagai Pilot Juruteknik ROV adalah di pelantar dan biasanya dalam tempoh dua bulan dan boleh lanjut ke enam bulan bergantung kepada projek.


"Klien juga bukan syarikat tempatan atau membabitkan perairan dalam negara sebaliknya sehingga ke luar. Saya pernah bekerja di Iran dan ketika itu ditugaskan untuk di dek pelepasan.


"Suhu waktu itu kira-kira dua darjah Celsius dengan keadaan angin sekali-sekala bertiup kencang,"katanya.


Menjelaskan selain individu mempunyai latar pendidikan dalam kejuruteraan berkaitan juga boleh mencipta peluang kerjaya dalam bidang itu.


Mereka yang berminat masih boleh melanjutkan pengajian dalam bidang itu di Filipina.


"Kalau individu itu berminat, satu cabaran ialah mengenai peluang menguasai kemahiran itu sendiri kerana tidak ada institusi menawarkan program pengajian sepenuh masa ROV Pilot.


"Setahu saya ketika ini hanya Filipina menawarkan program dengan kos pengajian sekitar RM20,000. Malaysia ada, tetapi penawaran mengikut keperluan industri menerusi pengambilan mengikut 'batch',"katanya.


Melihat kepada permintaan industri dan keterbukaan masyarakat mengenai bidang baharu, pihaknya melihat bidang itu boleh berkembang dengan Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang itu.


"Syarikat saya ketika ini dalam perancangan untuk menganjurkan kursus bagi individu merancang mendalami teknologi laut dalam itu.


"Bagi saya penting kerana kepakaran itu bukan sahaja boleh dimanfaatkan pemain industri tempatan, tetapi kepada anak muda untuk pergi jauh ke peringkat global dengan kepakaran ini,"katanya.


Sumber: Harian Metro


3 views
bottom of page