
SARIKEI, 26 Nov: Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bakal melaksanakan 27 projek bermula tahun hadapan, kata pengerusinya, Datuk Len Talif Salleh.
Menurutnya jumlah terbabit telah pun mendapat kelulusan juruperunding Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak (SFS), empat lagi diluluskan secara partial approval (jururunding survei), 12 perunding dalaman, 34 peringkat pemilihan konsultan manakala 10 projek lagi dalam proses pencalonan juruperunding.
Jelasnya sebelum ini Jawatankuasa Pemandu RADDA menyenaraikan 87 projek dan kesemuanya diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Projek–projek itu melalui beberapa peringkat antaranya reka bentuk, pelantikan juru runding, lakaran kerja yang lengkap dan sebagainya.
“Dari segi pelaksanaan, sebahagian daripada 27 projek ini dijangka akan bermula dalam suku ketiga atau suku empat insyaAllah tahun depan,” katanya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu RADDA di sini, pada Selasa.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas, Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Len menambah, sebahagian besar projek tertumpu kepada pembinaan prasarana penting rakyat yang bakal memberi manfaat besar dalam tempoh jangka panjang.
Sehubungan itu, RADDA meliputi kawasan seluas 11,330 kilometer persegi mempunyai 300,000 penduduk.
Pada masa yang sama, ia melibatkan 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng, Repok, Meradong, Pakan, Meluan, Balingian, Dalat dan Telian selain lima kawasan parlimen.
Sumber: TVS
Comments