top of page

Pelabuhan sepanjang Batang Rajang dinaik taraf


Pelabuhan sepanjang Batang Rajang dinaik taraf www.sarawakvoice.com
Gambar hiasan: Sungai di Sarawak

SIBU: Pelabuhan di sepanjang Batang Rajang hingga ke Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis (LPTM) akan dibangunkan dalam usaha menarik lebih banyak kapal untuk singgah.


Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi berkata, pemasangan Aids to Navigation (AtoN) merupakan salah satu inisiatif untuk meningkatkan kebolehcapaian dan keselamatan pelayaran ke pelabuhan di negeri ini.


Menurut Adun Samalaju itu, kos pemasangan tersebut (AtoN) membabitkan jumlah RM39.4 juta yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi setiap pelabuhan di sepanjang Batang Rajang hingga ke Pelabuhan Tanjung Manis.


Projek pemasangan alat tersebut, dijangka siap pada Oktober depan.


“Kerajaan Sarawak berminat untuk memulakan naik taraf dan memodenkan pelabuhan di negeri ini dengan pembangunan berkaitan bagi memastikan kecekapan dan kemampanannya,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan kerjanya ke LPTM kelmarin.


Majang berkata, komponen utama AtoN ini termasuk antara lain ialah Fairway, Meteorological and Lateral Buoys, Leading Lights, Beacons dan Automated Identification System.


“Reka bentuk ini mematuhi piawaian International Association of Marine Aids to Navigation and Lighthouse Authorities (IALA).


“Dengan ini, ia akan memudahkan pelayaran selamat untuk kapal-kapal yang berlabuh di LPTM dan meningkatkan keselamatan dan kecekapan pelayaran dengan menyediakan maklumat masa nyata,” tegas beliau.


Dengan pentauliahan AtoN, jelas beliau, ia akan memberi keyakinan kepada komuniti perkapalan tempatan dan antarabangsa untuk menggunakan khidmat Pelabuhan Tanjung Manis Hadir sama ialah Adun Daro yang juga Pengerusi LPTM Safiee Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Chiew Chee Yaw dan Pengurus Besar LPTM Latiff Coupon.


Sumber: Sarawak Voice

2 views

Comentários


bottom of page