top of page

Pulau Pinang terima tempias pembangunan KXP


Pembinaan KXP perlu dinilai dari perspektif lebih luas. - Ihsan FB Kulim International Airport - KXP

Oleh: Muhammad Yusri Muzamir


KERAJAAN Pulau Pinang wajar mempertimbangkan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah, sebagai alternatif kepada penyelesaian pelbagai isu berbangkit di Pulau Mutiara.


Biar pun KXP terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, ia ternyata akan membuka lebih banyak prospek pelaburan dan peluang pekerjaan kepada rakyat di Pulau Pinang dan Kedah.


Kontroversi pembinaan KXP ini sebaliknya perlu dinilai dari perspektif lebih luas, berbanding hanya kepada faktor kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) akan dinikmati Kedah selepas ia siap sepenuhnya.


Tambahan, LTAPP direkodkan sudah mencapai kapasiti maksimumnya dengan menerima 12 juta pengunjung setiap tahun, selain pelan menaik taraf bangunannya dijangka mengambil masa panjang. Ia berikutan hasrat kerajaan Pulau Pinang mahu membangunkan projek menaik taraf LTAPP di salah sebuah pulau buatan di perairan selatan negeri (PSR) yang masih gagal mendapat kelulusan laporan Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) dan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).


Limpahan kemajuan

Diakui sektor pelaburan Pulau Pinang akan mengalami sedikit penyusutan jika KXP dibina, bagaimanapun ia dilihat hanya bagi jangka pendek atau sederhana. Faktor penyusutan sektor pelaburan di Pulau Pinang itu dilihat mampu diatasi menerusi penerokaan industri baharu, antaranya yang berkaitan teknologi nano dan 5G.


Selain itu, pembinaan KXP juga akan memberi limpahan kemajuan kepada Pulau Pinang, khususnya di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT), sekali gus merancakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.


Ia antara lain dilihat mampu mengimbangi pembangunan di Seberang Perai dan pulau apabila kawasan perindustrian baharu boleh dibangunkan, khususnya di Tasek Gelugor yang muncul sebagai lokasi strategik bagi tujuan demikian.


Pembinaan KXP juga dilihat mampu merancakkan nilai hartanah di kawasan Seberang Perai dan mewujudkan lebih banyak peluang dalam sektor pembinaan, sekali gus mengurangkan masalah kekurangan rumah.


Bagi sektor pelancongan, Pulau Pinang tidak seharusnya rasa tergugat kerana jarak pembinaan KXP adalah lebih hampir dengan ibu negeri Pulau Mutiara, iaitu Georgetown berbanding ke Alor Setar, Kedah.


Jarak dari Kulim ke Georgetown hanyalah 43km, berbanding ke Alor Setar, Kedah sejauh 118km dan ini tidak akan membantutkan sektor pelancongan Pulau Pinang, sebaliknya merancakkan lagi promosi yang boleh dibuat di kawasan SPU dan SPT.


Kerajaan Pulau Pinang juga berpeluang meneroka dan menawarkan tempat penginapan bertaraf tiga bintang ke atas di kawasan SPU dan SPT bagi memenuhi permintaan pengunjung, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.


Jimat perbelanjaan negeri

Dari perspektif lain, pembinaan KXP juga mampu untuk menjimatkan perbelanjaan negeri kerana ia boleh menjadi alternatif kepada Pelan Induk Pengangkutan (PIP), dianggarkan bernilai RM49 bilion.


Ini disebabkan, penyuraian aliran trafik di bahagian pulau akan terlaksana secara automatik apabila tumpuan seimbang turut diberikan kepada kawasan di Seberang Perai.


Ia juga memberi peluang kepada kerajaan Pulau Pinang untuk mencapai status negeri ‘Bersih, Hijau dan Selamat’ apabila tiada pencemaran atau perubahan alam sekitar dilakukan, jika PIP dibatalkan ekoran pelaksanaan KXP.


Dana bernilai RM49 bilion bagi cadangan pelaksanaan PIP itu, sebaliknya boleh digunakan bagi pembangunan pelbagai projek lain yang akan memberi lebih manfaat kepada rakyat di Pulau Pinang. Keadaan ini membolehkan Pulau Pinang ditadbir dengan lebih cekap, selain berpotensi untuk mengurangkan jumlah hutang negeri dalam kadar yang besar.


Justeru, kerajaan negeri tidak seharusnya jumud dalam mengendalikan kontroversi pembinaan KXP, sebaliknya perlu melihat kemapanan pelaksanaannya yang akan menguntungkan Kedah dan Pulau Pinang secara langsung.



30 views
bottom of page