top of page

Proses roboh Stadium Shah Alam belum dapat dilaksana - Mohd Fauzi


Proses roboh Stadium Shah Alam belum dapat dilaksana - Mohd Fauzi
Stadium Shah Alam

Proses roboh Stadium Shah Alam belum dapat dilaksana - Mohd Fauzi

SHAH ALAM - Proses perobohan Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu belum dapat dilaksanakan, menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.


Beliau berkata, ini berikutan syarikat pemaju belum menyerahkan pelan pembangunan penuh projek di tapak stadium itu secara rasmi kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Katanya, perkara itu antara syarat yang perlu dipenuhi pihak pemaju sebelum kerja-kerja perobohan stadium dilakukan walaupun pelan kebenaran merancang untuk meroboh telah diluluskan di peringkat MBSA.


"Ramai yang tanya kenapa tak roboh? Sebenarnya ada syarat dalam kelulusan itu antara lain pemaju perlu menghantar pelan pembangunan penuh projek di tapak tersebut secara rasmi kepada MBSA sebelum kerja-kerja meroboh boleh dilakukan.


"Walaupun konsep pembangunan sudah ada dan perbincangan mengenainya telah dilakukan antara pemaju dan MBSA, namun pihak berkenaan belum menghantar pelan pembangunan tersebut kepada MBSA," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-12 di sini pada Khamis.


Pada Disember tahun lepas, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, pihak MBSA telah mengeluarkan kelulusan kebenaran merobohkan Stadium Shah Alam dan kerja-kerja perobohan akan dilaksanakan selepas pemaju memenuhi keperluan yang diwajibkan pihak berkuasa tempatan itu.


Proses perobohan Stadium Shah Alam dilaporkan melibatkan kos RM35.5 juta dengan pembinaan semula stadium berkapasiti 40,000 penonton itu dijangka siap pada hujung 2026.


Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, proses pembangunan KSSA sedang berjalan khususnya perkara melibatkan kerja-kerja teknikal dan dokumentasi.


"Pembangunan secara fizikal di tapak mungkin kita tak nampak secara ketara tetapi sebenarnya kerja-kerja pembangunan projek khususnya yang melibatkan teknikal dan dokumentasi sedang berjalan dengan baik," katanya.


Media sebelum ini melaporkan pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa meliputi proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dengan ruang perniagaan serta parkir yang dijangka siap pada 2026.


Ia diikuti fasa kedua membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi manakala fasa terakhir melibatkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel yang dijangka bermula Januari 2028 hingga Disember 2029.


Sumber: Sinar Harian


Proses roboh Stadium Shah Alam belum dapat dilaksana - Mohd Fauzi

59 views

Comentários


bottom of page