
Kuching: Sektor perkhidmatan awam di Sarawak perlu melonggarkan karenah birokrasi dengan mengkaji semula prosedur sistem penyampaian khususnya dalam pelaksanaan projek pembangunan.
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, banyak prosedur dalam sistem penyampaian kini sudah lapuk dan perlu diteliti untuk diubah bagi memudahkan pelaksanaan projek yang amat diperlukan rakyat.
Justeru, beliau yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua pada 18 Disember lalu mahu pembaharuan prosedur sistem penyampaian perkhidmatan awam itu diberi perhatian utama dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Perkara ini (pembaharuan prosedur) harus diberi perhatian khusus kerana saya mahu perkhidmatan awam bergerak lebih pantas.
"Apa yang berlaku sekarang, banyak projek pembangunan untuk rakyat berjalan agak perlahan hanya disebabkan karenah birokrasi serta prosedur yang sepatutnya tidak lagi diguna pakai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan hari pertama beliau memasuki pejabat di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion; Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Amir Omar dan Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid.
Abang Johari berkata, pada PRN-12 lalu, ramai mempersoalkan projek pembangunan untuk rakyat yang terlalu perlahan dalam pelaksanaannya malah ada yang tergendala.
"Projek jambatan di Marudi misalnya, kita (kerajaan negeri) sudah memutuskan pembinaannya dan kontraktor sudah mahu memulakan kerja, tetapi ada lagi prosedur yang menghalang pelaksanaan projek itu," katanya.
Mengenai kejayaan besar yang diraih Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN-12, Abang Johari berkata, beliau tidak menyangka mereka mampu memenangi 76 kerusi.
"Pada awalnya kami hanya menetapkan sasaran untuk menang antara 68 hingga 72 kerusi sahaja, tetapi kita berjaya meraih lebih tinggi daripada sasaran.
"Ini menunjukkan rakyat menerima dasar yang saya ketengahkan khususnya sasaran untuk mencapai status negeri maju pada 2030, rakyat mahu kestabilan politik.
"Rakyat juga memahami bahawa Sarawak harus memiliki kedudukan sendiri mengikut Perjanjian Malaysia 1963, bukannya keluar dari Malaysia," katanya.
Sementara itu, Abang Johari turut memberi bayangan Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan kekal sebagai orang nombor dua dalam Kabinet Sarawak baharu yang akan dibentuk apabila menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Saban itu sebagai Timbalan Ketua Menteri dalam ucapannya.
"Tak apa, kita sebut sahaja beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri, walaupun belum mengangkat sumpah," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments