Projek TTDI Sentralis bakal selesai menjelang 2021



TTDI Sentralis, Shah Alam, Selangor bakal muncul antara hab bandar mod bercampur teratas dengan gaya hidup baharu.


Ia menampilkan integrasi komersil terancang membabitkan runcit, pejabat dan kediaman.


Baru-baru ini Majlis 'Topping Out' yang diadakan Naza TTDI Sdn Bhd bagi meraikan projek berkenaan yang akhirnya mencapai penyelesaian.


Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Naza TTDI Sdn Bhd, Daniel Lim Hin Soon, Pengarah Projek Naza TTDI Sdn Bhd, Ir Lee Man Chong, CEO Naza Engineering Construction Sdn Bhd, Datuk Azman Marzuki dan Pengarah Projek Naza Engineering Construction Sdn Bhd, Khalid Mansor.


"Hari ini menandakan tonggak baharu untuk kita meraikan kemajuan pembangunan TTDI Sentralis. Kerja-kerja pembinaan sebelum ini ditangguhkan kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.


"Kami kini berusaha untuk mempercepatkan pembangunan memenuhi tarikh akhir yang baharu. Kami berharap dapat menyelesaikan keseluruhan projek Sentralis TTDI menjelang 2021," kata Daniel Lim.


Menerusi nilai pembangunan kasar GDV berjumlah RM478 juta, TTDI Sentralis membabitkan tiga komponen iaitu Sentralis Lifestyle Sovo Suites dan Trivium Avenue (runcit).


Komponen pertama pembangunan bersepadu adalah Sentralis Lifestyle Sovo Suites, yang rendah kepadatan dengan 18 unit setiap tingkat.


Ia bakal menempatkan 206 unit pejabat yang bergaya dan ruang fleksibel dengan lapan pilihan reka bentuk susun atur serta kawasan binaan antara 656 kaki persegi hingga 1,474 kaki persegi.


Seterusnya Trivium Avenue adalah komponen runcit di mana komuniti TTDI Sentralis berpeluang membeli-belah, makan dan menikmati hiburan di depan pintu.


Pelbagai kemudahan disediakan termasuk 104 unit kedai runcit, dua unit pandu lalu dan satu unit penyewa utama, lengkap dengan keselamatan 24 jam.


Stellar Residences pula pangsapuri perkhidmatan yang menawarkan keselesaan, rasa selamat dan kemudahan kepada penghuninya.


Terdiri daripada 260 unit, penghuninya berpeluang mendapatkan tiga pilihan reka bentuk susun atur dengan kawasan terbina dari 719 kaki persegi hingga 1,081 kaki persegi. Stellar Residences juga akan mendapat keselamatan 24 jam.


TTDI Sentralis dilihat sebagai lokasi strategik di Shah Alam selain mudah diakses melalui beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan,Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Guthrie. Selain Stesen Keretapi (KTM) Batu Tiga dan stesen transit aliran ringan (LRT).


Sumber: Harian Metro

12 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.