Projek Terusan Kra: Kerajaan hormati keputusan Thailand


KUALA LUMPUR: Kerajaan menghormati keputusan Thailand sekiranya negara itu mahu meneruskan projek Terusan Kra (Kra Canal).


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata pelaburan untuk membina terusan itu melibatkan khususnya negara Thailand dengan tujuan tertentu dan mesti dihormati.


“Kita anggarkan bahawa kesan negatif kepada pelabuhan Malaysia tidak sangat besar tetapi pelabuhan negara jiran lebih besar (menerima) kesan negatifnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu respons kerajaan selepas Thailand mengumumkan akan mengkaji semula pembinaan terusan sepanjang 102km itu.


Kamarudin berkata kerajaan mengikuti perkembangan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya ia benar-benar dilaksanakan negara jiran itu.


Sementara itu, Kamarudin berkata, pelabuhan-pelabuhan negara menunjukkan kemajuan berdasarkan kepada peningkatan sembilan peratus jumlah kendalian kargo pada suku pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.


Beliau berkata, prestasi keseluruhan pengendalian kontena bagi pelabuhan Malaysia direkodkan 6,315,457 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki).


“Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas telah merangka pelan induk perancangan pembangunan masing-masing merangkumi pembesaran serta pemodenan infrastruktur pelabuhan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata kerajaan menggiatkan usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan strategik dalam industri maritim dengan mengadakan rundingan bersama syarikat perkapalan utama dunia. – BERNAMA


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #Thailand

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.