top of page

Projek tebatan banjir: Selesaikan masalah kontraktor dahulu



Bachok: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan akan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah projek tebatan banjir di Kelantan.


Menurutnya, usaha itu diperkemas bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan seperti dirancang.


"Kini menjelang musim tengkujuh dan Kelantan sering berdepan masalah banjir, malah menjadi salah satu fokus (kerajaan). Namun projek tebatan banjir kini ada masalah.


"(Jadi) Saya akan turun sekali lagi ke Kelantan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kita dapat menyiapkan mengikut sebagaimana yang dirancang.


"Cuma sekarang ini kita mahu menyelesaikan masalah kontraktor (dahulu)," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini, hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.


Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berkata, projek tebatan banjir dan loji bekalan air bersih di Kelantan perlu disegerakan.


Katanya, projek itu perlu dilakukan demi kepentingan rakyat negeri meskipun kedua-dua projek membabitkan kos yang agak tinggi.


Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, satu lagi projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai Fasa 2b akan bermula November ini.


Beliau turut berharap berharap projek berkenaan dapat disiapkan dengan segera.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page