Kelantan sedia ambil tindakan kontraktor gagal urus pembetungan
- Ridhwanisme
- Oct 11, 2023
- 2 min read

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia mengambil tindakan lebih keras terhadap kontraktor-kontraktor yang gagal menguruskan kerja-kerja pembetungan dengan baik di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Jawatakuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, bidang pengurusan pembetungan bukan satu industri yang membawa keuntungan sehingga ada kontraktor yang dilantik dan diberikan tanggungjawab mengambil mudah serta melaksanakan kerja secara sambil lewa.
“Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) sendiri pernah memberi amaran berkenaan perkara ini dan bagi saya, kerajaan negeri juga perlu lebih serius. Kalau pelaksanaan belum ikut cara betul mungkin tindakan lebih keras perlu diambil.
“Kontraktor dilantik perlu ada kesedaran. Kalau mahu terlibat dalam industri ini perlu buat dengan betul kerana ia satu amanah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sesi Libat Urus dan Taklimat Kesedaran Pengosongan Tangki Septik oleh Indah Water Konsortium (IWK) Kepada Penghulu Seluruh Negeri Kelantan, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu memberitahu, menyedari kepentingan pengurusan pembetungan yang baik kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memodenkan sistem berkenaan di negeri ini.
Katanya, bagaimanapun ia bukan satu perkara yang mudah kerana terkait dengan pelbagai faktor selain perlu melibatkan peranan banyak pihak termasuk agensi-agensi kerajaan negeri sendiri.
“Kebanyakan sistem pembetungan di negeri ini masih mengikut sistem tradisi termasuk sistem individu yang mengikut keselesaan dan kehendak masing-masing serta jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.
“Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, pemodenan sistem pembentungan kepada sistem pengaliran berpusat tetap perlu dilaksanakan kerana akhirnya ia akan membawa kesan kepada negeri dan rakyat,” ujarnya.
Saizol berkata, tumpuan pada ketika ini adalah menjalankan kempen terutama di kawasan luar bandar untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan sistem pembetungan yang baik.
“Tahap kesedaran rakyat Kelantan terutama di kawasan luar bandar mengenai perkara ini merupakan antara terendah dalam negara. Kerana itu dengan kerjasama IWK, kita berusaha menjalankan kempen bagi meningkatkan tahap kesedaran mereka.
“Di kawasan bandar tidak banyak masalah kerana tahap kesedaran semakin meningkat dan sudah ada penggunaan sistem pembentungan berpusat. Sekarang kita beri tumpuan kepada kawasan luar bandar termasuk kawasan-kawasan desa dalam Jajahan Kota Bharu,” katanya.
Sumber: Utusan
Kelantan sedia ambil tindakan kontraktor gagal urus pembetungan
Kommentare