top of page

Projek tambak laut, bina pelabuhan laut dalam musnahkan pesisir Pantai Melaka


Projek tambak laut pesisiran pantai Melaka
Orang ramai bermain di tepi pantai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara di Pantai Puteri, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 OKTOBER 2021.

Projek tambak laut pesisiran pantai Melaka

KUALA LUMPUR – Sebanyak 26 badan bukan kerajaan (NGO) membantah projek tambak laut seluas 1,190 ekar di kawasan Alai, Melaka, yang bertujuan membina sebuah Pelabuhan Laut Dalam dan Terminal Pelayaran Antarabangsa.


Menurut mereka, pesisir pantai Melaka ialah sebuah kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan memainkan peranan penting dalam ekosistem dan rangkaian makanan tempatan.


Pesisir pantai Melaka juga merupakan salah satu kawasan pendaratan penyu penting, termasuklah untuk penyu spesis Hawksbill yang telah dikategorikan sebagai sangat terancam di dunia.


Projek tambakan seluas 1,190 ekar ini adalah antara yang terbesar di seluruh Malaysia dan akan memusnahkan alam sekitar di pesisir pantai Melaka.


Tambahan pula, kawasan projek tersebut merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) yang merangkumi tempat perikanan utama, hutan-hutan bakau, dan sebuah taman laut yang telah diwartakan (Pulau Besar).


Malah, projek tambakan ini adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ) yang melibatkan kawasan tambak laut seluas 25,000 ekar iaitu sepanjang 33 kilometer di seluruh pesisir pantai negeri Melaka.


”Projek-projek tambakan laut ini dikatakan penting untuk tujuan “pembangunan”, namun pengalaman lalu menunjukkan bahawa projek-projek ini adalah tidak mampan,” dakwa NGO-NGO tersebut dalam kenyataan di sini.


NGO terbabit ialah Gabungan Selamatkan Pesisir Pantai Melaka, Agora Society Malaysia, Bahagian Belia Dewan Perhimpunan China Melaka (Belia DPCM), Bendahari, BHES/MHS 1962-1974 Old Boys, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Global Human Right Foundation Malaysia, GRASS Malaysia, Jaringan Ekologi Dan Iklim (JEDI), Kelab Kasiredah Tranquerah, Malacca Portuguese-Eurasian Association, Malaysian Nature Society (MNS) dan Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET).


Selain itu, Mataburung.com, Melaka In Fact, Melaka Public Policy Club, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Penjejak Kurniaan Purba, People Like Us Support Ourselves (PLUsos), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia), Save Malacca Portuguese Community Action Committee, Sungai Project dan Treat Every Environment Special (TrEES).


Sebagai contoh, dakwa mereka, projek Gateway yang dilancarkan sekitar tahun 2014 dijanjikan dapat membawa masuk pelaburan berjumlah RM43 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan.


Namun sehingga hari ini, projek tersebut telah terbengkalai dan meninggalkan pencemaran yang teruk di kawasan persekitaran.


Tambah mereka, cadangan pembinaan pelabuhan baharu di tanah tambakan tersebut adalah tidak munasabah memandangkan negeri Melaka telah mempunyai dua pelabuhan lain yang sedang beroperasi, iaitu Pelabuhan Tanjung Bruas dan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi.


Selain itu, terdapat pelabuhan utama lain di Selat Melaka seperti Pelabuhan Kelang dan Pelabuhan Singapura.


Berdasarkan visi Malaysia Madani yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, prinsip kemampanan adalah antara tonggak yang harus diutamakan dalam proses pembangunan negara.


”Maka kami menyeru semua pihak untuk mengkaji semula projek-projek mega dan membatalkan projek tambakan laut seluas 1,190 ekar ini yang tidak mengutamakan kesejahteraan rakyat malah memudaratkan alam sekitar,” ujarnya.



5 views

Comentarios


bottom of page