top of page

Projek solar Bukit Selambau mula operasi lebih awal


Projek Solar Berskala Besar (LSS) kedua milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bukit Selambau (LSS Bukit Selambau) dengan kemampuan menjana 30 megawatt (MW) beroperasi pada 8 September lalu.

KUALA LUMPUR: Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Bukit Selambau, Kedah (LSS Bukit Selambau) milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) mula beroperasi pada 8 September lalu, 114 hari lebih awal daripada dijadualkan.


TNB dalam satu kenyataan, berkata loji tenaga solar berkapasiti 30 megawatt (MW) itu dilengkapi dengan 134,880 panel fotovoltaik solar dan 14 alat penyongsang (inverter).


"Ia pada awalnya dijangka mula beroperasi pada 31 Disember 2020," katanya.

Mengulas mengenainya, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kejayaan mula tugas LSS Bukit Selambau dicapai meskipun berdepan cabaran akibat COVID-19, membuktikan pengalaman dan kepakaran TNB dalam pembangunan projek Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), khususnya projek loji tenaga solar.


"Permulaan tugas LSS Bukit Selambau yang lebih awal adalah satu bukti komitmen TNB dalam memacu penjanaan tenaga boleh diperbaharui untuk negara, termasuk keupayaannya dalam melaksanakan projek RE berskala besar.


"Sejajar dengan pemerolehan pegangan majoriti dalam Vortex Solar di United Kingdom (UK) baru-baru ini, ia meletakkan TNB sebagai peneraju RE domestik selain menjadi antara pemain RE ulung di rantau ini dan peringkat antarabangsa," katanya.


Amir Hamzah berkata, projek kedua LSS itu meningkatkan dan mengukuhkan kapasiti penjanaan solar berskala besar dalam negara dengan menyumbang 80MWac (123MWp) kepada Grid Nasional.


"LSS pertama TNB di Sepang, Selangor (LSS Sepang Solar) berkapasiti 50MW telah memperoleh tarikh operasi komersial pada November 2018," katanya.


Projek LSS Sepang Solar dan LSS Bukit Selambau masing-masing dianugerahkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) (kini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli - KeTSA) melalui Suruhanjaya Tenaga menerusi Program Bidaan Kompetitif LSS 1 dan 2.


Kedua stesen itu dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Renewables Sdn Bhd (TRe).


TRe adalah syarikat yang terbabit dengan pengurusan aset, operasi dan pelaburan, serta bertanggungjawab menerajui aset dan projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan Asia Tenggara.


TRe sedang giat meneroka peluang potensi kerjasama dalam segmen tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan di rantau ini.


Menurut TNB, pembinaan LSS Bukit Selambau mengambil masa 21 bulan termasuk hampir dua bulan tertangguh akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).


Pembinaannya dijalankan mengikut peruntukan oleh kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan, TNB Engineering Corporation Sdn Bhd, satu lagi anak syarikat milik penuh TNB.



7 views
bottom of page