top of page

Projek secara berfasa kurangkan kos kerajaan


Sekolah daif di Malaysia
Gambar hiasan

Sekolah daif di Malaysia

KOTA KINABALU: Kerajaan menggunakan pendekatan baharu bagi meneruskan projek infrastruktur yang memerlukan peruntukan besar dengan melaksanakannya secara berfasa bagi mengurangkan kos.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata beliau mencadangkan pendekatan itu bagi projek infrastruktur di Parlimen Papar yang diwakilinya.


Katanya, belanja yang besar diperlukan jika projek dilaksanakan secara sekali gus, menyebabkan sukar untuk kerajaan meluluskan pelaksanaannya, lebih-lebih lagi projek yang pernah diluluskan sebelum ini tetapi dibatalkan disebabkan kos yang tinggi.


Dengan merujuk kepada projek menaik taraf Jalan Lok Kawi-Pengalat-Papar, dekat sini yang diluluskan Kerajaan Persekutuan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan dibatalkan pada 2018 disebabkan kos yang tinggi, beliau berkata, projek itu akhirnya diluluskan semula secara berfasa.


"Jalan raya Lok Kawi-Pengalat-Papar, dulu dibatal pada 2018. Kosnya kira-kira RM700 juta pada masa itu dan mungkin lebih tinggi pada masa ini disebabkan kenaikan kos bahan binaan.


"Jadi, itulah masalah kita, namun saya cadangkan kepada Menteri Kerja Raya, Menteri Ekonomi dan Kementerian Kewangan supaya buatlah secara berfasa.


"Alhamdulillah, cadangan untuk melaksanakan fasa pertama diluluskan iaitu sepanjang 3.4 kilometer (km) bermula dari Bulatan Sabindo hingga ke jambatan Sungai Kinarut dengan kos RM67 juta," katanya pada taklimatnya kepada guru dan warga Jabatan Pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kinarut, Papar, semalam.


Taklimat perkembangan semasa pembangunan zon Kinarut dan isu pendidikan di Papar itu diadakan sempena lawatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang meninjau masalah bangunan daif di SK Pekan Kinarut.


Projek asal menaik taraf Jalan Lok Kawi-Pengalat-Papar itu membabitkan hampir 20km, daripada jalan selorong dua hala kepada dua lorong dua hala.


Pelaksanaannya disasar untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di laluan sedia ada ketika ini berikutan ramai pengguna jalan raya dari arah Papar menjadikannya laluan utama ke tempat kerja di bandar raya Kota Kinabalu.


Armizan berkata, walaupun hanya 3.4km diluluskan untuk pembinaan fasa pertama projek naik taraf itu, ia sangat penting bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas berikutan laluan yang sempit ketika ini.


"Projek ini akan dimulakan tahun ini bagi kerja tanah dan jajaran baharu, manakala pelaksanaan penuh, tahun depan. Sekiranya ada empat lorong, ia dapat menyelesaikan isu 'bottle neck' di laluan ini," katanya.


Sementara itu, beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk melaksanakan semula projek Kompleks Sukan Papar yang dibatalkan sebelum ini bagi memenuhi keperluan aktiviti sukan di Papar, selain sebagai antara venue Sukan Malaysia (SUKMA) apabila Sabah menjadi tuan rumah.


Katanya, ia sejajar dengan pendekatan baharu Kementerian Belia dan Sukan yang bakal menggilirkan penganjuran SUKMA di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung berbanding mengikut negeri sebelum ini.


"Ia bermakna setiap enam tahun sekali SUKMA akan dianjurkan di Sabah, ertinya perlu ada kompleks sukan baharu dan yang paling dekat ialah di Papar.


"Untuk langkah jangka pendek, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM1.6 juta bagi membina trek sintetik di Padang Pekan Papar," katanya.


Beliau berkata, ketiadaan kompleks sukan di Papar menyukarkan penganjuran acara sukan di daerah itu, termasuk sukan antara sekolah, hingga terpaksa menggunakan kemudahan kompleks sukan di daerah lain seperti di Beaufort.


Sumber: Berita Harian


1 view

Komentarze


bottom of page