top of page

Projek sakit perumahan swasta tertinggi di Kelantan - KPKT


Projek sakit perumahan swasta tertinggi di Kelantan - KPKT
Gambar hiasan: Peratusan negeri paling banyak hadapi projek lewat dan sakit adalah Kelantan, iaitu 50 peratus projek perumahan di Kelantan ini bermasalah.

Projek sakit perumahan swasta tertinggi di Kelantan - KPKT

KUALA LUMPUR: Kelantan merekodkan jumlah tertinggi bagi projek perumahan swasta yang lewat siap dan dikategorikan sakit berdasarkan data bulanan dikumpul Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai.


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pihaknya akan ke Kelantan bagi meninjau projek yang lewat siap dan dikategori sakit, Ahad ini.


"Kita sudah maklumkan kepada kerajaan negeri dan memohon diadakan pertemuan bagi meneliti perkara ini.


"Walaupun jumlah keseluruhan projek (di Kelantan) hanya 86, tapi bila separuh bermasalah, maksudnya kalau kita beli rumah di Kelantan, peluang untuk projek itu bermasalah adalah 50-50.


"Ini sangat membimbangkan, maka kita susun untuk adakan pertemuan (dengan pihak kerajaan negeri) dan untuk adakan pemantauan di tapak projek lewat dan sakit Ahad ini," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.


Akmal berkata, dari keseluruhan 86 projek dilaksanakan di Kelantan, tujuh projek perumahan dikategorikan dalam perancangan, lancar (36 projek), lewat (tiga projek) dan 40 projek dalam kategori sakit.


"Maksudnya dari segi perbandingan antara negeri-negeri yang lain, peratusan negeri paling banyak hadapi projek lewat dan sakit adalah Kelantan, iaitu 50 peratus projek perumahan di Kelantan ini bermasalah," katanya.


Secara perbandingan, katanya, projek dalam perancangan tetapi belum bermula di Selangor ialah 30, kategori lancar (742), projek lewat (39) dan sakit, 108 projek.


"Projek lewat atau sakit di Selangor adalah antara 16 hingga 18 peratus.


"Perlis hanya mempunyai 22 projek, yang sakit ada empat, satu projek lewat manakala 17 lagi lancar," katanya.


Akmal berkata, Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai menjangkakan 400 lagi projek berpotensi sakit tahun ini manakala 123 projek lagi dikategorikan lewat di seluruh negara.


"Unjuran ini kita kemas kini dari bulan ke bulan. Sebanyak 75 projek kita sahkan sebagai sakit dalam sebulan dan tempoh sama bagi April 2023.


"Kita berjaya lancarkan semula 26 projek (lewat dan sakit). Dari jumlah 26 projek ini, 20 projek sudah diberi CCC (Perakuan Siap dan Pematuhan) dan enam lancar yang mana dulunya sakit, namun sekarang sudah menunjukkan pembinaan lancar," katanya.


Sumber: Berita Harian


Projek sakit perumahan swasta tertinggi di Kelantan - KPKT

bottom of page