top of page

Projek RTS: 323 kontraktor Bumiputera Johor turut serta



ISKANDAR PUTERI: Seramai 323 kontraktor Bumiputera dari Johor akan diberi peluang dalam pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka bermula Januari ini.


Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata ia membabitkan agihan kontrak sebanyak 40 peratus daripada nilai keseluruhan sebanyak RM800 juta yang diperuntukkan bagi kerja infrastruktur dan pembinaan bangunan.


Katanya, Johor Centre For Construction Development (JCCD) selaku anak syarikat milik penuh kerajaan Johor bakal memastikan kontraktor tempatan dapat mengambil peluang dan diberi pendedahan untuk terbabit sama dalam projek RTS Bukit Chagar, Johor Bahru-Woodlands North, Singapura.


"Menerusi jalinan usaha sama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam membangunkan kepakaran termasuk pemindahan ilmu dan teknologi kepada kontraktor tempatan dalam projek RTS itu.


"Sebanyak 40 peratus daripada nilai keseluruhan pembinaan infrastruktur awam dianggarkan bernilai RM800 juta akan diperuntukkan kepada kontraktor Johor yang berkelayakan membabitkan kategori Gred G1 sehingga G6.


"Pecahannya membabitkan 167 kontraktor G1 dan G2 (dengan nilai kontrak RM58 juta), 109 kontraktor G3 dan G4 (RM187 juta) dan 23 kontraktor G5 dan G6 (150 juta)," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) secara maya antara JCCD dengan anak syarikat milik penuh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), iaitu Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS).


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif JCCD, Datuk Ekmaluddin Ishak.


Dalam sidang maya itu, Mohd Zarif dan Pengarah Projek RTS Link, Zulkifli Mohamed yang berada di Kuala Lumpur memeterai MoU terbabit dan menyerahkannya secara maya sebagai simbolik.


Ahad lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.


Majlis pecah tanah berlangsung di tapak Bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar dengan disaksikan Sultan Ibrahim secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda.


Sementara itu, Hasni berkata, projek RTS Link Johor Bahru-Singapura itu mempunyai jajaran sepanjang empat kilometer (km) dengan 2.7 km berada di Malaysia, manakala 1.3 km di Singapura.


Katanya, jajaran RTS itu merangkumi bahagian bertingkat yang akan dibina di Malaysia, manakala bahagian bertingkat dan bawah tanah dibina di Singapura, dengan membabitkan nilai keseluruhan projek yang dianggarkan berjumlah RM3.7 bilion.


Ditanya sama ada projek RTS akan menjadi perintis kepada pembinaan Transit Aliran Massa (MRT)di bandar raya Johor Bahru pada masa hadapan, Hasni tidak menolak kemungkinan itu.


"RTS adalah satu permulaan baik untuk Johor khususnya buat bandar raya Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.


"Potensi ke arah itu ada. Jika kita dapat capai jumlah penumpang yang baik untuk RTS nanti, akan sampai masanya bahawa sistem pengangkutan rel termasuk MRT jadi ciri penting dalam pengangkutan Johor," katanya.


131 views
bottom of page