Projek rel berjalan lancar walaupun berdepan COVID-19


Foto dimuat naik di laman web MRT Corp pada Julai 2020 menunjukkan kerja-kerja pemasangan struktur besi, fakad dan pembinaan kekotak pintu masuk A sedang dijalankan di Stesen MRT Kuchai. - Foto ihsan MRT Corp

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 jelas sekali memberi kesan hebat kepada pelbagai industri dalam negara, tidak terkecuali projek-projek kereta api mega negara seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT).


Walaupun Malaysia agak terkejut seketika dengan situasi yang dicetuskan oleh pandemik itu, apa yang menarik, pelaksanaan projek-projek infrastruktur ini dilihat terus berjalan lancar ke arah penyiapan dengan bantuan berterusan daripada kerajaan persekutuan.


Ini seiring dengan janji Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan semua projek di bawah Belanjawan 2020, termasuk ECRL dan Transit Aliran Massa 2 (MRT2) ketika melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac.


Mengenai landasan ECRL yang disifatkan sebagai "game-changer" untuk penduduk Pantai Timur semenanjung, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak yakin bahawa landasan sepanjang 640 kilometer itu akan siap mengikut jadual.


"Ini ialah kerana keseluruhan projek ini sedikit awal daripada jadual berikutan kerja-kerja pembinaan yang cepat untuk penjajaran ECRL di Seksyen A (Kota Bharu - Dungun) dan Seksyen B (Dungun - Mentakab)," kata beliau kepada Bernama baru-baru ini.


Menurut beliau, projek itu mencatat kadar kemajuan keseluruhan 18.10 peratus setakat ini berbanding 16.86 peratus pada Jun.


Selain itu, projek itu hanya 0.02 peratus tertunda dalam jadual pelaksanaannya selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac, katanya.


Pada masa ini, Darwis berkata kerja-kerja pembinaan terutamanya membabitkan kerja tanah, penggalian terowong, kerja jambatan, kerja asas dan longkang menegak pasang siap.


"Jumlah lokasi keutamaan untuk pembinaan di kedua-dua seksyen A dan B dijangka meningkat kepada 101 tempat menjelang akhir tahun berbanding 27 tahun lepas," katanya.


MRL juga berusaha menyerapkan warga tempatan dari negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan Pahang ke dalam Program Latihan Kemahiran Industri ECRL, untuk potensi pekerjaan dalam sektor pembinaan rel, bagi mempercepatkan kemajuan.


Darwis berkata MRL berhasrat melihat 70 peratus daripada 23,000 tenaga kerja ECRLnya terdiri daripada warga Malaysia.


Sehubungan itu, MRL amat berharap Belanjawan 2021 dapat menyediakan insentif yang boleh merancakkan kerja pembinaan serta menyokong pengambilan tenaga kerja tempatan.


Dalam hal ini, Darwis berkata MRL mengalu-alukan kedua-dua insentif fiskal dan bukan fiskal daripada kerajaan persekutuan.


Projek ECRL yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 terbahagi kepada tiga seksyen, iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab), dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).


Untuk Seksyen C, kerajaan turut memberi jaminan yang ia sedang merunding semula dengan kerajaan China dan kontraktor utama projek itu bagi memuktamadkan kos penjajaran dan jadual pelaksanaan projek.


Sementara itu, Pengasas dan Rakan Pengurusan kumpulan Thought Partners Group Consulting (TPG), Abi Sofian Abdul Hamid berkata seperti ECRL yang berjalan lancar walaupun pada kadar yang perlahan, begitu juga dengan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang turut menunjukkan kemajuan.


Beliau berkata LRT3 dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2024, dengan 33.12 peratus projek itu telahpun siap setakat ini.


Sebaik sahaja selesai, projek yang meliputi laluan sejauh 37.8 kilometer itu akan menghubungkan Koridor Barat Lembah Klang dan Kuala Lumpur.


Sementara untuk projek MRT, pemaju itu memaklumkan kemajuan untuk Laluan Putrajaya ialah pada tahap 79.2 peratus setakat akhir Ogos 2020.


Pengarah Projek Laluan SSP MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Amiruddin Ma'aris, dalam laporan berita baru-baru ini menyatakan fasa pertama membabitkan stesen MRT Kwasa Damansara dan Kampung Batu sepatutnya boleh mula beroperasi menjelang pertengahan 2021, dan selebihnya pada 2022.


Laluan MRT Putrajaya adalah laluan kedua di bawah projek MRT Lembah Klang. Ia akan mempunyai 36 stesen dengan sembilan daripadanya berada di bawah tanah. Keseluruhan jajaran adalah 56.2 km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral. – BERNAMA


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #MRT

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.