top of page

Projek PLSB Fasa Dua tunggu lantikan kontraktor


EvolusiBina-CIDB-KKR-LLM-JKR-Tender-Projek-Kontraktor-CCD-Industri-Pembinaan-Malaysia-Construction-Industry Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: Sungai Golok, Kelantan

Kota Bharu: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok fasa dua bakal dijalankan dalam masa terdekat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sudah meluluskan peruntukan bernilai RM879 juta baru-baru ini dan pelaksanaannya hanya menunggu perlantikan kontraktor sahaja.


Beliau berkata, untuk fasa satu iaitu membabitkan kerja pembinaan yang bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Sungai Lanchang, Pasir Mas sedang berjalan dan sudah mencecah 81.26 peratus dan dijangka siap menjelang April 2024.


"Fasa dua peruntukan sudah diluluskan cuma tunggu perlantikan kontraktor dan setuju agar pelaksanaannya dibuat dalam masa terdekat manakala fasa tiga masih lagi dalam kajian Kasa.


"Fasa satu sudah berjalan dan lebih cepat dari yang dijadualkan dan apabila siap semua fasa, sebahagian besar banjir di kawasan terbabit akan dapat ditangani," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Terdahulu beliau melawat tapak pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu di Tunjong di sini yang bakal menggantikan Wisma Persekutuan di Kota Bharu sebaik siap dibina.


Mustapa berkata, projek pembinaan bangunan yang menelan perbelanjaan sebanyak RM470 juta itu bermula pada Jun 2020 dan dijangka siap pada Julai 2024.


Katanya, pembinaan bangunan itu dilakukan oleh kira-kira 70 peratus buruh binaan warga asing dan memerlukan lebih ramai pekerja bagi memastikan projek itu mampu disiapkan lebih awal.


"Bangunan ini nanti akan mempunyai empat blok pejabat dengan ketinggian lapan tingkat dilengkapi auditorium, dewan serba guna, surau, medan selera, tadika dan taska, blok pengawal serta kira-kira 2,000 lot tempat letak kereta bertingkat.


"Hari ini saya bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri hadir menyelaras dan memantau pelaksanaan projek ini yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) supaya siap mengikut jadual perancangannya," katanya.


Sumber: Harian Metro



Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page