top of page

Projek pembinaan empangan hidroelektrik di Malinau bantu mudahkan bina Grid Borneo


Projek pembinaan empangan hidroelektrik di Malinau, Kalimantan Utara
Gambar hiasan

Projek pembinaan empangan hidroelektrik di Malinau, Kalimantan Utara

KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan empangan hidroelektrik di Malinau, Kalimantan Utara akan membantu memudahkan Kerajaan Sarawak membina Grid Borneo, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.


Timbalan Premier Sarawak itu berkata, negeri ini sedang memberi penekanan kepada sektor tenaga yang boleh diperbaharui.


“Sarawak mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan kuasa hidro, dan kita akan menjadi sebahagian daripada kuasa di kawasan ini.


“Dengan adanya projek empangan hidroelektrik itu, ia juga akan memudahkan kita untuk melaksanakan sekurang-kurangnya Grid Borneo,” katanya.


Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar itu juga berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek-Projek di Bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, kelmarin.


Menjelas lanjut, tambahnya, projek empangan hidroelektrik itu juga dilaksanakan di Indonesia oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai syarikat kerjasama dan ia juga merupakan projek kuasa hidro yang mempunyai kapasiti 1,375 megawatt.


“Kita menerusi SEB juga mempunyai sekitar 25 ekuiti untuk membangunkan projek tenaga hidro.


“Rancangan utamanya adalah untuk membekalkan kuasa elektrik kepada kawasan perindustrian mereka, yang akan dibangunkan di Kalimantan Utara dan dalam proses pembangunan sekarang,” ujarnya.


Dalam pada itu, dari segi impak ekonomi kepada Sarawak, Tengah memberitahu, yang pertama ialah kesalinghubungan talian penghantaran kuasa itu sendiri.


“Selain itu, ia juga melibatkan pembangunan Nusantara yang merupakaan kawasan baharu yang akan dibangunkan di Indonesia.


Ia dijangka memberi impak kepada kita di Sarawak. “Sekurang-kurangnya kita boleh saling menyokong dan disebabkan itu kita merancang untuk pembangunan sempadan.


Pada masa sama, Kerajaan Malaysia sudah bersetuju untuk memberi keutamaan di kawasan Tebedu, Entikong, Ba’kalalan, Long Midang di kawasan Indonesia dan kita akan menumpukan kepada infarstruktur asas.


“Dengan adanya pembangunan seperti ini ia akan meningkatkan perdagangan sempadan dan perancangan pembangunan di kawasan sempadan,” jelasnya.


Sumber: Sarawak Voice


9 views

Comments


bottom of page