top of page

Projek pembangunan lembangan Sungai Sarawak dijangka siap 2025


FOTO hiasan Sungai Sarawak. - Foto ARKIB NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan komited untuk meneruskan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak yang dijangka siap pada 2025.


Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, berkata projek bernilai RM191 juta itu kini dalam proses reka bentuk terperinci dan tender fizikal dijangka dimulakan tahun depan.


"Ini adalah kotmitmen tertinggi kerajaan dalam usaha mengatasi bencana banjir di seluruh negara," katanya menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) di Dewan Rakyat, hari ini.


Rubiah mahu kementerian menyatakan persiapan negara untuk menghadapi bencana banjir serta status semasa projek tebatan banjir oleh kementerian di Kota Samarahan.


Ahmad Masrizal berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), sebanyak 22 projek tebatan banjir di Sarawak diluluskan dengan kos projek sebanyak RM561 juta.


Beliau berkata, melalui Program Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangi Risiko Banjir Pelbagai Negeri, kementerian menyalurkan peruntukan RM88.4 juta, khusus untuk Sarawak bagi melaksanakan kerja pemuliharaan sungai di negeri itu.


"Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM5.1 juta kepada Sarawak bagi pelaksanaan Projek Rangsangan Ekonomi (PRE) merangkumi kerja naik taraf dan pengukuhan tebing sungai, baik pulih ban dan naik taraf sistem perparitan sedia ada.


"Selain itu, kerja pengorekan dan pembersihan termasuk membuang kelodak, membaik pulih laluan sungai, denai, laluan penyelenggaraan, saluran keluar ke sungai, pembetung dan lain lain struktur berkaitan sungai dan tebatan banjir," katanya.


Sementara itu, bagi kesiapsiagaan menghadapi banjir di negara ini, beliau berkata, kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan beberapa pendekatan.


Ia, katanya, termasuk pemantauan secara dalam talian status semasa curahan hujan dan aras air sungai utama seluruh negara melalui laman publicinfobanjir.water.gov.my yang boleh dilayari oleh semua pihak.


Ahmad Masrizal berkata, ia akan dapat meningkatkan keupayaan hebahan supaya dapat memberi tempoh masa mencukupi kepada penduduk dan agensi bertanggungjawab melaksanakan persediaan awal ke arah tindakan dalam menghadapi banjir.


"Melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), data terkini ramalan dan amaran banjir di 41 lembangan sungai di seluruh negara disediakan termasuk di Kota Samarahan yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025.


"Setakat ini, terdapat tiga lembangan sungai yang sedang beroperasi sepenuhnya di Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang," katanya.


Selain kesiapsiagaan ketika menghadapi banjir musim tengkujuh, Ahmad Masrizal berkata, penyediaan pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) juga antara pendekatan untuk mengurangkan risiko banjir melalui kaedah bukan struktur. - BERNAMA



12 views
bottom of page