top of page

Projek naik taraf jalan Jambatan Marang dijangka siap pada 2025


AHMAD Samsuri (kanan) bersama Fadillah Yusof ketika perasmian majlis pecah tanah menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang di Kampung Seberang Marang hari ini. FOTO Ghazali Kori

Marang: Projek menaik taraf jalan dan jambatan merentasi Sungai Marang membabitkan kos RM338.5 juta bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dijangka siap pada Oktober 2025.


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 1.5 kilometer itu dimulakan pada 9 Disember tahun lalu dan dijadualkan mengambil masa 42 bulan untuk disiapkan.


Beliau berkata, jambatan Sungai Marang antara yang disenaraikan di dalam program penggantian jambatan dan menjadi keutamaan untuk dilaksanakan segera seperti dimohon Kerajaan Negeri Terengganu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) susulan pertambahan aliran trafik di laluan berkenaan.


"Projek ini berada di Laluan Persekutuan 3 yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kuantan, Pahang di mana struktur jambatan (sedia ada) ini adalah sempit dan menyumbang kepada kesesakan di Bandar Marang.


"Jambatan ini yang dibina pada 1960 sudah berusia 62 tahun dan tidak mampu menampung jumlah trafik yang meningkat apabila sebanyak 31,387 kenderaan melalui jambatan berkenaan setiap hari berdasarkan Bancian Lalu Lintas pada 2020.


"Selain itu, struktur jambatan ini dilihat tidak mampu menampung kenaikan beban trafik pada masa hadapan yang membabitkan isu keselamatan pengguna," katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jambatan Merentasi Sungai Marang di Laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini, hari ini.


Majlis pecah tanah dan serahan surat terima projek itu disempurnakan Fadillah bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Fadillah berkata, kerja menaik taraf jalan berkenaan dapat mengurangkan masa perjalanan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 minit pada waktu puncak berbanding sebelum ini.


Katanya, skop kerja yang akan dilaksanakan membabitkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia kepada empat lorong dua hala.


"Ia turut menaik taraf dua jambatan kepada empat lorong dua hala di Sungai Marang dan Sungai Rinting, membina jejambat dari persimpangan Bandar Marang merentasi Sungai Marang dan membina sistem perparitan di kiri dan kanan, pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti," katanya.


Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, projek berkenaan amat ditunggu bukan sahaja warga Marang, tetapi seluruh rakyat Terengganu.


"Kita percaya projek infrastruktur ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah kesesakan, tetapi dapat menyumbang dan merancakkan kegiatan ekonomi rakyat termasuk pelancongan dan sebagainya.


"Kita berharap projek ini dipantau secara teliti oleh pihak berkuasa untuk memastikan ia dapat disiapkan dalam 42 bulan sebagaimana yang dirancangkan," katanya.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page