top of page

Projek naik taraf infrastruktur diteruskan - MBJB


JOHOR BAHRU: Sebanyak 13 projek infrastruktur yang masih dalam proses pembinaan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sepanjang tahun lalu, akan disiapkan dalam tempoh ditetapkan.


Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman, berkata antara faktor kelewatan siap projek termasuk isu pengalihan kabel, tiang lampu Tenaga Nasional Bhd (TNB), paip Ranhill SAJ, halangan struktur binaan penduduk, faktor cuaca dan kelewatan kontraktor.


Katanya, projek itu termasuk pembinaan persimpangan bertingkat di persimpangan Jalan Dato Onn Utama/Jalan Bukit Mutiara, menaik taraf jalan dan perparitan di Plentong Baru, selain kerja penyelenggaraan jalan serta parit tepi jalan termasuk kerja berkaitan lorong belakang kawasan Taman Kempas dan kerja menggantikan permukaan jalan di persimpangan kawasan pusat bandar.


“Selain itu, pelebaran jalan di Jalan Daya/Jalan Daya 2, di Jalan Kenangan Kampung Melayu Majidee, di Jalan Rahmat Kampung Melayu, Jalan Persiaran Bukit Kempas, di Jalan Bestari 34/3 Taman Bestari Indah, selain menaik taraf jalan dan perparitan di Taman Dato Onn termasuk Kampung Dato Onn, membina tempat letak kenderaan di tepi gerai Atap Berlian Hutan Bandar.


“Projek turut menumpukan kerja menaik taraf jalan dan perparitan di jalan Merdeka dari lorong Haji Omar hingga lorong Adil di Kampung Melayu Majidee serta kerja menaik taraf lorong belakang di susur 3 Jalan Tun Abdul Razak.


“MBJB komited menyempurnakan pelaksanaan projek berkenaan dan menyusun beberapa langkah untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB, di sini, hari ini


Bagi memastikan kelangsungan projek, Amran berkata, MBJB akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan termasuk TNB, Ranhill SAJ, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan syarikat komunikasi bagi memantau perancangan kerja pengalihan aset.


“Ini bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut perancangan, malah mesyuarat pemantauan tapak juga akan dijalankan berhubung isu membabitkan pihak pemaju dan penduduk bagi masalah kedudukan rumah di rizab jalan.


“Kerjasama agensi berkaitan diperlukan bagi menangani isu berbangkit supaya permasalahan dapat diselesaikan segera,” katanya.


Sumber: Berita Harian


16 views
bottom of page