AMPANG - Keresahan sebahagian penduduk Taman Bakti dan Taman Kencana yang didakwa terlibat dalam perobohan rumah bagi memberi laluan kepada projek MRT3 di Pandan di sini dijangka selesai melalui cadangan jajaran baharu.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, pihaknya akan mengatur pertemuan bersama pihak MRT serta pihak berkuasa berkaitan dalam tempoh dua minggu daripada sekarang bagi menyuarakan pandangan berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, isu tersebut telah dibangkitkan penduduk sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan beliau berpendirian alternatif jajaran baharu mampu menyelesaikan permasalahan tersebut.
"Angka rumah terlibat belum dapat dipastikan kerana maklumat yang diperoleh adalah berbeza-beza, tapi jumlahnya mungkin mencecah ribuan penduduk yang telah tinggal di sana antara 30 ke 40 tahun.
"Penduduk cadangkan alternatif jajaran dan saya pasti ada cara jajaran lain yang boleh dibuat tanpa libatkan perobohan rumah. Ini yang akan saya bangkitkan melalui pertemuan yang bakal diadakan pada minggu depan atau dua minggu lagi," katanya selepas selesai mengadakan Dialog Awam Pandan di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Jumaat.
Hadir sama, Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.
Mengulas lanjut Rafizi berkata, sesi rundingan yang diadakan tersebut diharap dapat 'mengharmonikan' isu projek MRT3 antara penduduk dengan pengendali projek.
"Status projek banyak menimbulkan kekeliruan apabila penduduk mendakwa terkejut kerana proses projek tidak dimaklumkan kepada mereka.
"Sementara itu, ada perbezaan jawapan daripada pihak penduduk dengan pemilik projek. Jadi saya harap mendapat maklumat tepat serta jawapan rasmi berhubung status projek itu," katanya.
Menurut beliau, setakat ini cadangan yang dibuat oleh penduduk ada rasional dan munasabah melibatkan jajaran baharu yang tidak melibatkan pengambilan rumah.
"Secara tidak rasmi saya sudah suarakan hubungan jajaran baharu itu kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Saya akan buat surat rasmi menyatakan pendirian saya sebagai Ahli Parlimen Pandan supaya sebarang jajaran tidak akan melibatkan pengambilan rumah penduduk.
"Keputusan berhubung perkara tersebut akan saya maklumkan kepada penduduk terlibat selepas pertemuan pihak MRT selesai," katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk Taman Bakti, Aslin Bahar, 38, meluahkan rasa lega apabila isu MRT3 tersebut dijangka dapat diselesaikan tanpa melibatkan perobohan rumah penduduk.
"Saya ada terima notis berhubung projek tersebut pada tahun lepas yang mana rumah saya di blok D Taman Bakti terlibat dalam projek tersebut.
"Sudah tentu saya bimbang kerana maklumat yang diterima akan diberikan pampasan sekitar RM150,000 sahaja dan tidak memadai dengan harga rumah yang semakin naik sekarang," katanya.
Tambahnya, jika projek itu diteruskan, kebajikan penduduk juga perlu dijaga termasuk gantian rumah baharu sekitar Ampang yang selesa.
Sumber: Sinar Harian
Commentaires