top of page

Projek mega utara Sarawak tawar dua opsyen jaringan jalan raya


Projek mega utara Sarawak tawar dua opsyen jaringan jalan raya Kosmo www.kosmo.com.my
Gambar hiasan: Pembinaan lebuhraya di Sarawak

BINTULU – Kerajaan Persekutuan hari ini meluluskan dua lagi projek mega di utara Sarawak di bawah Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek tersebut bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya.


“Pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui negara Brunei Darussalam, menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96km yang bakal ditambah baik kepada dua buah lorong dua hala.


“Bagi mereka yang tidak mahu melalui Brunei boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km yang merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Seksyen Pujut bagi pakej kerja Sungai Tangkap-Jalan Pujut Link (WPC11)(Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak).


Tambah Ismail Sabri, projek melibatkan kos RM10.62 bilion bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.


“Dengan penelitian teknikal yang kini di peringkat akhir, kerajaan komited untuk memulakan pembinaan Fasa 2 Projek SSLR dan Projek LTB seawal tahun depan dengan tempoh pembinaan selama tiga hingga lima tahun.


“Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama,” jelasnya.


Dalam pada itu, Ismail Sabri menyasarkan projek ini bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) bagi membolehkan Sarawak mencapai taraf negeri maju seperti yang dirancang oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak.


“Pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini juga merupakan hasil perancangan yang rapi dan holistik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP).


“Projek Lebuh Raya Pan Borneo ini juga bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat- pusat komersial di sepanjang jajarannya,” ujarnya.


Sumber: Kosmo!


8 views

Comentarios


bottom of page