top of page

Projek LRT3: MRCBGK urus kontraktor secara profesional selaras kontrak


Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari 2024. - Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: MRCB George Kent (MRCBGK) menegaskan bahawa ia mengurus semua Kontraktor Pakej Kerja (WPC), termasuk WPC Bumiputera secara profesional, selaras dengan kontrak.


Kontraktor utama siap bina atau turnkey itu dalam kenyataannya berkata kontraktor WPC LRT3 diberi oleh Prasarana Malaysia Bhd dibuat melalui proses tender terbuka pada tahun 2016.


"Semua pembida yang berjaya telah dinovasi kepada MRCB George Kent sebagai WPC pada tahun 2019.


"MRCBGK menjalankan tugas secara profesional selaras dengan kontrak, yang mengikat kedua-dua pihak.


"Kami mengamalkan prinsip hubungan kerja yang baik dengan kontraktor -kontraktor di mana kami sentiasa berjumpa untuk menyelesaikan bukan sahaja masalah-masalah berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan, bahkan juga masalah kewangan (terutama kontraktor Bumiputera) yang mereka hadapi dengan secara munasabah," demikian mengikut kenyataan itu.


Kenyataan MRCBGK itu bagi menjelaskan kedudukan sebenar susulan dakwaan pemilik projek berkenaan iaitu Prasarana bahawa terdapat rungutan daripada subkontraktor termasuk Bumiputera bahawa mereka tidak menerima bayaran daripada MRCBGK.


Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam satu sidang media baru-baru ini mendakwa pihaknya beliau juga menerima rungutan bahawa nilai kontrak juga diubah dan dikecilkan supaya kerja pembinaan dapat dibuat pada kos murah.


"Ini tidak adil untuk kontraktor dan saya sebagai Pengerusi kena ambil tahu kerana sebagai pemilik projek kita nak tengok semua berjalan lancar," kata beliau.


Dalam pada itu, Prasarana menolak dakwaan syarikatnya menahan pembayaran kepada kontraktor turnkey projek LRT3 iaitu MRCBGK.


Tajuddin berkata pihaknya sudah membuat pembayaran RM3.468 bilion setakat 2 Oktober 2020 untuk kerja yang sudah siap dibina kepada MRCBGK.


Namun begitu, beliau menjelaskan bagi pembayaran bernilai RM380 juta membabitkan invois 8 Oktober 2020 dan 8 November 2020 belum lagi dibuat Prasarana berikutan kekangan aliran tunai yang dihadapinya.


Bagaimanapun, MRCBGK dalam kenyataan balas menjelaskan, pembayaran yang dibuat Prasarana pada 2 Oktober 2020 adalah untuk kerja-kerja pembinaan yang disiapkan berakhir Jun 2020.


Katanya, pembayaran tertangguh Prasarana berjumlah lebih RM700 juta adalah bermula Julai hingga Oktober 2020 yang telah disahkan untuk pembayaran oleh perunding bebas yang dilantik Prasarana iaitu KL Prima Consult Sdn Bhd.


Menurut MRCBGK, setakat Oktober 2020, jumlah pembayaran yang disahkan adalah RM723.888 juta, sementara pembayaran untuk November 2020 masih belum disahkan.


Syarikat itu berkata, MRCBGK juga telah mendahulukan lebih RM200 juta untuk mengekalkan projek LRT3.


"MRCB dan George Kent telah memberi jaminan korporat kepada Prasarana dan masing-masing telah mengeluarkan modal berbayar sebanyak RM5 juta," katanya.


Kemajuan keseluruhan projek LRT3 adalah 45.8 peratus setakat 31 Disember 2020 dan projek itu melantik 21 kontraktor dan perunding utama serta memiliki 10,000 pekerja, kata MRCBGK.


Comentarios


bottom of page