top of page

Projek Lebuh Raya Pan Borneo diberi lanjutan masa


(Gambar fail) Projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo. - NSTP/MELVIN JONI

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi lanjutan masa (EOT) tertentu kepada kontraktor pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang terkesan akibat pandemik COVID-19.


Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata wabak itu memberi kesan terhadap kemajuan kerja serta kos pembinaan projek lebuh raya itu sebagaimana yang turut dialami projek lain kerajaan.


Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi

memastikan kelancaran projek berkenaan yang kini dijangka siap sepenuhnya pada September tahun depan.


"Pelbagai pelan mitigasi sedang dilaksanakan, antara lain penyelarasan semula jadual pembinaan dan EOT bagi memastikan kelancaran serta kelangsungan projek itu.


"KKR turut mengambil langkah proaktif memantau prestasi kemajuan secara berterusan, melalui lawatan berkala dan sesi libat urus bersama kontraktor serta perunding terbabit.


"Ini bagi mengenal pasti keberkesanan tindakan mitigasi dan penambahbaikan yang boleh diambil bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.


Beliau menjawab soalan Dr Nuing Jeluing mengenai status terkini projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan sama ada tarikh asal siap pembinaannya dikekal atau dilanjutkan.


Mengulas lanjut, Arthur memaklumkan, satu pakej kerja bagi projek itu, iaitu pakej Telok Melano ke Sematan, sudah siap sepenuhnya pada Januari 2019.


"Baki 10 pakej kerja, iaitu dari Sematan ke Miri, sedang giat dilaksanakan dengan status kemajuan pembinaan hingga September lalu ialah sebanyak 71 peratus," katanya.


Menjawab soalan tambahan Datuk Zaiedi Suhaili mengenai pertimbangan khas kepada kontraktor yang tidak dapat menyiapkan projek itu mengikut masa ditetapkan, Arthur berkata, EOT akan diberikan mengikut kes bagi kelewatan yang bukan disebabkan pihak kontraktor.


"Mengambil kira peningkatan harga bahan binaan, kerajaan mempertimbangkan permohonan perubahan kadar harga (EOP), tertakluk kepada kadar dan terma ditetapkan," katanya.


Sumber: Berita Harian

9 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page