top of page

Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman jejas ekosistem taman laut


Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman jejas ekosistem taman laut
Pulau Tioman

Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman jejas ekosistem taman laut

Pulau Tioman yang diwartakan sebagai taman laut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sekurang-kurangnya 61 peratus daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar.


Bagaimanapun, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman menimbulkan kebimbangan kesan kepada keseimbangan alam yang kompleks dan mempesonakan, bahkan berisiko menyebabkan kemerosotan kualiti hidup komuniti tempatan.


Pada 2003, timbul cadangan membina lapangan terbang bernilai RM120 juta di Kampung Paya tetapi mendapat tentangan ramai hingga dibatalkan pada 2009. Namun, cadangan baharu pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman muncul pada 2018 dan mendapat kelulusan kerajaan negeri dan Majlis Perancang Fizikal Negara pada 2020.


Lapangan terbang dicadangkan itu, dijadualkan untuk tempoh pembangunan selama tujuh tahun dari 2024 hingga 2030, meliputi kawasan seluas 142.7 hektar dalam sempadan taman laut diwartakan.


Sehingga kini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, masih belum memberikan kata putus tetapi laporan media menyatakan beliau menyedari kepentingan Pulau Tioman sebagai tapak marin dan mahu meneliti Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum mengulas.

Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman jejas ekosistem taman laut
Pulau Tioman

Sebenarnya, laporan EIA mendedahkan pembinaannya membabitkan penebusan 76 peratus tanah daripada kawasan perlindungan marin (MPA), mengakibatkan kemusnahan kebanyakan terumbu karang sangat berharga sedangkan ia habitat penting bagi banyak spesies laut dan menyumbang secara signifikan kepada biodiversiti.


Tapak lapangan terbang yang dicadangkan juga menceroboh kawasan terkenal dengan kemunculan jerung terumbu blacktip dan penyu sisik yang sedang diancam kepupusan.


Menurut Pengurus Program dan Ahli Biologi Marin di Reef Check Malaysia, Alvin Chelliah, lapangan terbang baharu tidak akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat atau alam sekitar, sebaliknya menekankan keperluan tumpuan penambahbaikan infrastruktur, sistem perparitan, rawatan sisa dan bekalan elektrik.


Alvin mengetengahkan isu kekurangan air dan pengurusan sisa tidak baik serta efisien, bahkan meminta lebih banyak penyelidikan dan penilaian dibuat sebelum projek terbabit diluluskan.


Media baru-baru ini mendedahkan laporan EIA turut mencadangkan pelaksanaan pelan pemuliharaan dan pemulihan marin membabitkan penempatan semula serta pembiakan karang ke empat tapak ditetapkan serta dua ladang karang sebelum pembinaan bermula.


Bagi menangani potensi kesan sosioekonomi, laporan itu mengesyorkan pengurangan cukai pelancong kepada pengusaha resort dan perniagaan berkaitan sekurang-kurangnya lima tahun.


Walaupun penempatan semula karang mungkin kelihatan proaktif, kerajaan perlu mengkaji kelemahan dan batasan pendekatan sedemikian secara kritis.


Memindahkan batu karang dari habitat semulajadi ke tapak baharu boleh memberi kesan buruk kepada kelangsungan hidup serta ekosistem disokong. Batu karang dipindahkan sering sukar menyesuaikan keadaan baharu hingga membawa kadar kematian tinggi.


Interaksi kompleks antara karang, organisma marin dengan persekitaran sekeliling tidak boleh dibuat replikasi dalam tetapan buatan. Gangguan disebabkan penempatan semula boleh mengganggu keseimbangan ekosistem, sekali gus menjejaskan ekologi jangka panjang.


Langkah menawarkan pengurangan cukai pelancong sebagai cara mengimbangi potensi kemerosotan ekosistem marin pula tidak mencukupi. Walaupun mungkin memberikan pelepasan kewangan jangka pendek untuk pengusaha resort dan perniagaan, ia tidak menangani kerosakan tidak dapat dipulihkan kepada alam sekitar dan biodiversiti Pulau Tioman.


Kemampanan jangka panjang pulau tidak patut dikompromi untuk mendapatkan faedah ekonomi, sebaliknya kerajaan perlu mengutamakan langkah komprehensif dan lestari supaya dapat melindungi sumber semulajadinya, menggalakkan amalan pelancongan bertanggungjawab serta melabur dalam pembangunan industri alternatif kurang memudaratkan alam sekitar.


Diakui memilih persekitaran berbanding keuntungan kewangan mungkin berlawanan dengan kehendak dipacu keuntungan, tetapi mengabaikan alam akan menyebabkan kos meluas.


Hakikatnya, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman adalah tamparan hebat kepada sumber asli dan komuniti tempatan. Kegagalan memahami kepentingan kawasan perlindungan ini dan keengganan mengutamakan pemeliharaan alam sekitar adalah mendukacitakan.


Kita menggesa kerajaan menimbang semula rancangan itu dan menuntut akauntabiliti pihak bertanggungjawab untuk mengutamakan pemeliharaan anugerah alam semulajadi berbanding keuntungan ekonomi jangka pendek.


Semua individu prihatin digesa berkongsi ketidakpuasan hati terhadap projek ini dengan memberikan ulasan terhadap laporan EIA projek berkenaan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) dibuka untuk ulasan umum hingga 4 Ogos ini.


Pada masa sama, semoga Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang terkenal dengan komitmen terhadap isu alam sekitar seperti diperlihatkan dalam penyertaan baginda dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 (COP27), turut campur tangan dalam isu ini.


Aktivis Belia Alam Sekitar dan Pengasas Bersama Project Ocean Hope


Sumber: Berita Harian


Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman jejas ekosistem taman laut


17 views

Comments


bottom of page