top of page

Projek Landasan Berkembar Lembah Klang diteruskan



Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil maklum mengenai video dikeluarkan secara dalam talian mendakwa pembatalan projek Landasan Berkembar Lembah Klang atau Klang Valley Double Track Project (KVDT2) akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang besar.


Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, memandangkan pihak DMIA-LTAT sudah membawa isu ini ke mahkamah, justeru kerajaan perlu menghormati proses yang sedang berjalan ketika ini.


"Oleh demikian, MOT juga tidak akan memberikan respons mengenai semua perkara yang berkaitan dengan kes terbabit bagi mengelakkan berlakunya sebarang kemungkinan subjudis.


"Kerajaan mengulangi pendirian sebelum ini bertarikh 28 Ogos bahawa projek KVDT2 akan diteruskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mengenai pelaksanaan projek itu, beliau berkata, Kabinet bersetuju membuka semula tender bagi projek terbabit demi memastikan ketelusan penggunaan dana awam seterusnya memperoleh nilai terbaik bagi rakyat dan ekonomi negara.


Katanya, diharapkan juga tidak akan timbul spekulasi yang berupaya mempengaruhi proses perundangan mengenai perkara itu.


Semalam, video berdurasi lebih lima minit mempersoalkan nasib pekerja berkenaan berikutan projek itu ditamatkan.


KVDT2 membabitkan usaha baik pulih dan naik taraf landasan kereta api KTMB sejauh 265 kilometer meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.


Fasa pertama membabitkan naik taraf sistem kerja antara Rawang dan Seremban dan dari Sentul ke Pelabuhan Klang bagi jarak sejauh kira-kira 150 kilometer dengan kos sebanyak RM1.3 bilion.


Ia dilaporkan sudah siap sebanyak 85 peratus dengan tambahan masa 17 bulan daripada jadual asal yang mengambil masa empat tahun.


Bagaimanapun, pada 7 September lalu, DMIA-LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan dan Ka Siong, antara lain memohon mendapatkan satu deklarasi bahawa terdapat kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan menerusi satu surat penerimaan bertarikh 19 Ogos 2019.


Projek itu mendapat perhatian ramai selepas Menteri kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diberikan secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).


Sementara itu, pada 28 Ogos lalu, Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya akan membuka semula tender bagi projek KVDT2 selepas mengambil kira keputusan kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek yang dimaksudkan di bawah DMIA-LTAT terlalu mahal.



102 views
bottom of page