top of page

Projek jambatan tergendala, Aminuddin hantar surat kepada menteri


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun
Aminuddin (tiga dari kanan) dan Arul Kumar (dua dari kanan) melihat projek pembinaan jambatan baharu menghubungkan Kampung Batang Benar dan Taman Industri Nilai, Nilai

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN - Kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berhubung isu kelewatan pembinaan jambatan baharu menghubungkan Kampung Batang Benar dengan Taman Industri Nilai bagi memastikan ia dapat disiapkan segera.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek pembinaan jambatan itu tergendala disebabkan syarat yang agak ketat ditetapkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga menimbulkan masalah kepada kontraktor.


"Kita akan menulis surat kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengenai masalah berlaku sekali gus bagi memastikan projek itu dapat diteruskan pelaksanaannya.


"Ia jadi masalah kerana jambatan lintasan itu melalui laluan keretapi. Jadi banyak prosedur perlu dipatuhi yang akhirnya kita rasa pihak kontraktor pun tak berani nak buat sebab banyak perkara perlu difikiran," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.


Sinar Harian pada tahun 2021 melaporkan projek pembinaan jambatan tersebut yang bernilai RM7.7 juta dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.


Ia dijangka siap pada tahun 2023 dan merupakan salah satu daripada 11 projek di bawah peruntukan kerajaan negeri yang sedang dalam pembinaan sekarang.


Dalam perkembangan lain Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan menetapkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti oleh penyedia tapak dan aktiviti perkhemahan di negeri ini.


Tambahnya, ia bagi memastikan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan popular di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali tidak berulang lagi.


"Kita akan keluarkan garis panduan sendiri dahulu sebelum penyelarasan dibuat di seluruh negeri.


"Bagi saya ia perlu disegerakan kerana kita nak membantu pengusaha memandangkan industri ini kini telah mendapat perhatian dalam sektor pelancongan negara," katanya.


Sumber: Sinar Harian



15 views

Comments


bottom of page