top of page

Projek jalan di Jempol: Wujud laluan alternatif, manfaat kepada penduduk


Projek jalan di Jempol: Wujud laluan alternatif, manfaat kepada penduduk
Gambar hiasan

Projek jalan di Jempol: Wujud laluan alternatif, manfaat kepada penduduk

SEREMBAN - Projek pembinaan jalan dari Kampung Geddes melalui Sungai Kelai menuju Felda Palong, Jempol bakal mewujudkan laluan alternatif yang dapat dimanfaatkan warga Felda di kawasan itu termasuk masyarakat Orang Asli.


Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata, usaha itu akan memendekkan masa perjalanan penduduk sekitar terutama sekiranya berlaku kecemasan, sekali gus menjamin keselamatan mereka dengan jaringan jalan raya yang lebih baik.

"Jalan dibina nanti akan menghubungkan Kampung Geddes ke kampung Sungai Kelai di Palong, sejauh 10 kilometer, ini bermakna wujudnya laluan-laluan alternatif di situ.

"Kampung Sungai Kelai ini terdiri daripada masyarakat Orang Asli dalam kawasan Palong 12 dan Palong 13. Apabila projek ini sudah siap akan ada tiga laluan iaitu ke Felda Palong dan Ladang Bahau dan jalan sedia ada sekarang ini ke Keratong," katanya.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

Projek itu antara yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat Isnin lepas, bagi memastikan kesejahteraan penduduk di desa dan pedalaman.


Senada dengannya, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata, pembinaan jalan itu melengkapkan jaringan infrastruktur jalan raya di daerah berkenaan, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna memandangkan jalan sedia ada merupakan jalan tanah merah yang sempit.


Beliau berkata, di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK12, satu lagi projek pembinaan jalan diluluskan menghubungkan Sungai Sebaling ke Bahau, Jempol yang apabila siap dapat menghubungkan terus ke Kampung Geddes-Sungai Kelai-Felda Palong.


Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, pembinaan jaringan jalan darat itu amat perlu sebagai pemangkin pembangunan antara wilayah dan kawasan kampung serta Felda yang terlibat.


Beliau berkata, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah turut membantu merancakkan ekonomi masyarakat tempatan dengan jajaran terlibat dan memudahkan pengeluaran hasil pertanian seperti getah dan kelapa sawit selain mendukung matlamat asas Dasar Pengangkutan Negara.


"Pada masa akan datang, jalan yang dibina melibatkan kampung ini akan semakin rancak membangun kesan daripada pembangunan jaringan jalan raya Kampung Geddes melalui Sungai Kelai ke Felda Palong kerana menjadi jalan pintas sekali gus memudahkan perhubungan logistik,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


Projek jalan di Jempol: Wujud laluan alternatif, manfaat kepada penduduk


Comments


bottom of page