Projek IC-CFS tangani ancaman terhadap biodiversiti negara
- Ridhwanisme
- Nov 30, 2022
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Projek Improving Connectivity of the Central Forest Spine (IC-CFS) yang dilaksanakan sejak 2014, berhasil menyokong usaha kerajaan dalam menangani dua ancaman kepada biodiversiti negara iaitu pengurangan kuantiti serta kualiti habitat dan pemburuan haram.
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa, berkata pelaksanaan projek menerusi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) itu, sangat penting dalam memelihara biodiversiti dan habitat hutan di landskap CFS.
Katanya, ia menyokong pelaksanaan Pelan Induk CFS yang meliputi habitat Harimau Malaya dalam aspek-aspek seperti pembangunan kapasiti kakitangan agensi persekutuan dan agensi negeri, meningkatkan penguatkuasaan, pengurusan hutan secara berkekalan, menyediakan Rancangan Pengurusan Koridor Ekologi, meningkatkan taraf hidup komuniti serta menyediakan Rancangan Kewangan Konservasi bagi Negeri.
"Antara keberhasilan utama projek ini adalah pewartaan 32,783 hektar kawasan hutan tanah kerajaan kepada hutan simpanan kekal (HSK) dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan melalui Spatial Monitoring and Reporting Tool (SMART) dan program rondaan bersama komuniti setempat di negeri Perak, Pahang dan Johor.
"Selain itu, ia memberi kuasa kepada 21 orang pegawai JPSM dan Perbadanan Taman Negeri diberi kuasa untuk menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), dan menyediakan Pelan Pengurusan Koridor Ekologi untuk negeri Johor, Pahang dan Perak.
"Projek ini meningkatkan taraf hidup komuniti hutan seperti Orang Asli melalui projek sara hidup seperti penghasilan madu tualang dan lilin lebah, santuari ikan, Program Pengawasan Burung Kenyalang dan Program Perhutanan Sosial," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Showcase Projek UNDP/GEF/GOM:IC-CFS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah JPSM, Datuk Indera Mohd Ridza Awang.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) merangkap Pengarah Projek IC-CFS, JPSM, Datuk Zahari Ibrahim.
Rosli berkata, projek itu membolehkan pelaksanaan aktiviti restorasi hutan terosot di dalam dan sekitar koridor ekologi CFS meliputi negeri Johor, Pahang dan Perak, yang menyaksikan setakat ini seluas 612.8 hektar hutan terosot berjaya dipulihkan.
Katanya, projek itu membantu membentuk kaedah atau protokol khusus untuk menilai biodiversiti, serta menggunakan perisian Access untuk menilai perkhidmatan perhutanan dan stok karbon, selain membentuk Rancangan Kewangan Lestari di Pahang.
Sumber: Berita Harian
Comments