top of page

Projek HSR domestik mungkin jadi kenyataan


Malaysia dijangka melaksanakan projek HSR secara bersendirian - Foto arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menamatkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak bermakna pengakhiran bagi rel berkelajuan tinggi di negara ini.


Penganalisis Hong Leong Investment Bank, Jeremy Goh, dalam notanya berkata, cakap-cakap mengenai rundingan bagi membangunkan rel berkelajuan tinggi yang akan berakhir di Johor Bahru semakin diperkatakan berdasarkan pemeriksaan lapangan oleh firma penyelidikan itu.


Ia berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed turut menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan kajian daya maju HSR domestik.


Katanya, pelaksanaan secara bersedirian akan memberikan autonomi dari segi reka bentuk projek, spesifikasi, pembiayaan, garis masa penyampaian dan pelantikan perunding atau kontraktor.


"Secara keseluruhan, pelaksanaan secara unilateral akan memudahkan cadangan langkah pengurangan kos tanpa memerlukan persefahaman dua hala.


"Kami tidak menolak kemungkinan Singapura membina aliran rel berkelajuan tinggi dari Johor Bahru di peringkat berikutnya, jika laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru diteruskan, berikutan potensi manfaat ekonominya.


"Namun, versi yang disemak semula mungkin dilaksanakan dalam jangka panjang. Dalam jangka terdekat ini, kami percaya projek Transit Aliran Massa (MRT) akan menjadi keutamaan kerajaan," katanya.


Goh berkata, terdapat beberapa spekulasi ciri penjajaran semula projek HSR termasuk memiliki perhubungan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan integrasi dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


"Kami percaya penjajaran semula dan perubahan spesifikasi mungkin menghadapi tentangan dari Singapura memandangkan kesannya terhadap cadangan nilai HSR.


"Kami berpendapat bahawa penggantian dengan perjalanan udara adalah pertimbangan utama untuk nefara republik itu dan penjajaran semula ditambah dengan spesifikasi yang lebih rendah akan menurunkan nilai utama projek berkenaan," katanya.


Jumaat lalu, Malaysia-Singapura membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, selepas gagal mencapai kata putus susulan tempoh penangguhan yang berakhir 31 Disember 2020.


Sementara itu, Penganalisis AmInvestment Bank, Joshua Ng, berkata pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dijangka menyaksikan prospek pendapatan peserta industri berkaitan menjadi lebih lemah.


"Pertama, persekitaran pasaran pembinaan tidak begitu mewujudkan kuasa penetapan harga kerana kontraktor tempatan yang amat memerlukan projek bersaing untuk mendapatkan kontrak baharu yang terhad di pasaran.


"Kedua, peserta industri berdepan dengan kos operasi yang tinggi dan kecekapan yang lebih rendah susulan sekatan waktu bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) serta kepadatan jumlah pekerja di tapak projek.


"Malah mereka juga berdepan dengan perbelanjaan tambahan untuk menaik taraf asrama pekerja selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)," katanya.


Ng berkata, dengan perkembangan semasa termasuk membabitkan fiskal, kerajaan tidak mungkin melancarkan projek infrastruktur awam baharu secara besar-besaran dalam masa terdekat.



24 views
bottom of page