
KUCHING: Projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh (HEP) mengikut jadual meskipun mengalami kelewatan akibat pandemik Covid-19 dan masalah tenaga pekerja.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan empangan tersebut berjalan dengan lancar dan dijangka memulakan operasi pada tahun 2028.
“Sekarang ini berjalan lancar, hanya waktu Covid-19 ada masalah, kita tidak dapat bekerja.
“Selepas Covid-19 pun ada masalah pekerja, sekarang ini sudah balik seperti sedia kala.
“Buat masa ini saya tidak dapat berikan peratusan projek tapi saya pasti ia berjalan lancar,” katanya ketika ditemui media selepas mengunjungi rumah terbuka Hari Gawai Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, di sini malam tadi.
Antara kenamaan yang hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta kenamaan yang lain.
Mengenai projek empangan hidro di Trusan, Abang Johari berkata, projek itu kini dalam proses menjalankan kajian kemungkinan.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak pada 2017 memberi kelulusan bagi pembinaan empangan Trusan yang menjana 275 megawatt.
Cadangan empangan Trusan adalah agak kecil berbanding empangan mega yang lain seperti Bakun (2,400 megawatt), Murum (944 megawatt) dan Baleh (1,285 megawatt).
Walaupun empangan mega ini hanya menjana elektrik, empangan Trusan akan membekalkan kedua-dua elektrik dan air setelah ia siap.
Sumber: Sarawak Voice
Projek empangan Baleh mengikut jadual
Comments