top of page

Projek ECRL di 4 negeri capai 40.81 peratus siap - MRL


Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
Pembinaan projek ECRL di Kelantan yang meliputi jajaran sepanjang 43.86 kilometer dijangka siap menjelang akhir 2026 mengikut jadual yang ditetapkan. - Gambar fail

Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

KOTA BHARU: Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor sudah mencapai kemajuan 40.81 peratus setakat ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata di Kelantan, kemajuan projek sudah mencapai 51.94 peratus.


"Kerja-kerja infrastruktur bagi pembinaan jajaran ECRL di Kelantan sedang giat dijalankan antaranya pemasangan rasuk jejambat yang telah bermula dari jambatan di Jerus, Pasir Puteh dan kini menghampiri kawasan Padang Raja, Melor," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Iftar Bersama ECRL yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, di sini malam tadi.


Pada majlis tersebut MRL turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 30 anak yatim dan kakitangan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa' Lilbanin Sri Peraksi Cherang Ruku, Pasir Puteh.


Mengulas lanjut, Darwis berkata selain itu, kerja-kerja penambakan tanah yang meliputi 16 daripada 19 lokasi keseluruhan di Kelantan telah pun bermula.


"Kerja-kerja rawatan tanah dan penanaman cerucuk bagi Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong serta kerja-kerja rawatan tanah bagi Stesen ECRL Pasir Puteh di Kampung Jeram juga sedang giat dijalankan," katanya.


Beliau berkata berdasarkan kemajuan kerja tersebut, pembinaan projek ECRL di Kelantan yang meliputi jajaran sepanjang 43.86 kilometer dijangka siap menjelang akhir 2026 mengikut jadual yang ditetapkan.


Sumber: Astro Awani


14 views

Comments


bottom of page