KUALA LUMPUR: EXCO Kerajaan Selangor mahu langkah menambah baik proses membabitkan penyelenggaraan dan pembaikan kecil dengan nilai RM1 juta ke bawah, dijalankan tanpa menjejaskan kualiti kerja.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han, berkata langkah itu dilihat mampu mempercepatkan proses pembinaan tapi harus menjaga kualiti kerja.
"Langkah menambah baik proses membabitkan kerja pembaikan, penyelenggaraan infrastruktur awam seperti jalan raya dan dikawal oleh pasukan pemantau tanpa melalui agensi teknikal mampu mempercepatkan proses pembinaan tanpa menjejaskan kualiti kerja.
"Saya percaya pasukan pemantau juga akan membabitkan agensi teknikal tetapi ia lebih bersepadu bagi memastikan projek di bawah RM1 juta ini dapat disiapkan dengan kualiti yang ditetapkan," katanya kepada BH.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan membenarkan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil dengan nilai RM1 juta dilaksanakan terus di peringkat negeri atau daerah, berkuat kuasa serta-merta.
Anwar dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran kaedah perolehan kerja itu untuk semua projek penyelenggaraan, termasuk pengecualian ke atas Arahan Perbendaharaan (AP) 182 .
Kelonggaran itu berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Disember tahun ini bagi memastikan semua kerja terbabit dapat disiapkan dalam tempoh tahun semasa.
Sze Han berkata, langkah itu sangat wajar dilaksanakan berikutan Selangor adalah negeri yang padat dengan penduduk dan aktiviti industrinya juga rancak.
Sumber: Berita Harian
Projek cepat siap tanpa jejaskan kualiti - EXCO Selangor
Comments