top of page

Projek bina saluran paip alih air sungai tercemar bermula Januari ini


Gambar fail. Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil sampel air berdekatan dengan kawasan perindustrian yang disyaki tercemar di kawasan Sungai Gong, September lalu untuk membuat ujian bau ke atas sampel. - Foto ihsan LUAS

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan melaksanakan projek membina saluran paip berupaya mengalihkan air sungai tercemar sebagai antara usaha mengatasi pencemaran sumber air di negeri ini, bermula Januari ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata projek berkenaan masih di peringkat tender dan dijangka dapat dilaksanakan pada Januari depan.


"Pembinaan saluran paip akan membolehkan air sungai dikesan tercemar dialihkan ke lokasi lain daripada terus memasuki muka sauk Loji Rawatan Air (LRA).


"Ia (projek) nampak mudah tapi kita perlukan 15 bulan bagi menyiapkannya kerana mengikuti proses tender dan lain-lain," katanya pada pemberita selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.


Amirudin berkata, projek itu termasuk dalam peruntukan RM200 juta yang diluluskan dalam Belanjawan Selangor 2021 dibentangkan, Oktober lalu.


"Menerusi saluran paip itu juga, kita akan pam air simpanan daripada Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) dan Kolam Takungan Hiliran (ORS) ke sungai supaya LRA tidak akan putus bekalan yang dianggarkan air simpanan mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima hari," katanya.


Jelasnya, pihaknya juga akan melaksanakan langkah merawat air sungai menerusi teknologi nano supaya gangguan bekalan air akibat pencemaran dapat dikurangkan pada masa hadapan.


Dalam perkembangan lain, Amirudin turut mengulas komen netizen tidak berpuas hati yang mempersoalkan bagaimana Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerima anugerah Public Water Agency of the Year di Global Water Awards 2020 baru-baru ini.


"Air Selangor ialah pengendali akaun air terbesar di Asia Tenggara dan kita mengemukakan laporan setiap tahun justeru, pengiktirafan itu diberikan kepada keupayaan kita menguruskan bekalan air.


"Jika pengiktirafan itu dipersoalkan, mereka boleh tanyakan kepada pihak yang memberikannya kepada Air Selangor," katanya.


20 views
bottom of page