top of page

Projek ada, pekerja tiada


Projek ada, pekerja tiada Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: Projek ada, pekerja tiada


Shah Alam: Projek ada, pekerja tak ada. Itu dilema dihadapi Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) yang kekurangan 500,000 pekerja di bidang itu pada masa ini.


Ia menjadikan kontraktor berdepan masalah untuk menyiapkan pembinaan mengikut jadual dan berisiko diisytihar muflis akibat masalah terbabit.


Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, kira-kira 15 peratus daripada kontraktor di negara ini berdepan kemungkinan gulung tikar dan bankrap jika isu berkenaan berlarutan.


Katanya, situasi kekurangan pekerja khususnya pekerja asing sangat kritikal dan perlu diatasi segera oleh pihak berwajib.


"Saya akui kami memang kritikal dan tenat. Ramai kontraktor berdepan gulung tikar, terpaksa serah semula projek dan disenaraihitam.


"Kita pun dimaklumkan sudah ada kemasukan dari Bangladesh dan Indonesia. Pekerja Bangladesh kita difahamkan sudah pun dibawa masuk seramai 30,000 orang.


"Tetapi yang masuk seramai 55 orang saja sedangkan kita memerlukan 500,000 orang pekerja. Kalau kita tengok di selatan, utara dan Sabah serta Sarawak, projek berjalan perlahan.


"Kita mahu kontraktor yang ada prestasi meneruskan kerja yang baik. Kalau isu pekerja asing ini tidak dapat diselaraskan dengan baik, kita risau akan melihat banyak projek sakit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Katanya, pihaknya juga bimbang Syarat Perubahan Harga (VOP) yang diperkenalkan kerajaan dilihat tidak dapat membantu kontraktor dan cara pelaksanaan masih tidak jelas dan samar-samar.


Menurutnya, walaupun kerajaan menambah 11 lagi bahan binaan dalam pelaksanaan VOP bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan selain memastikan projek siap tepat pada masanya, pembekal bahan binaan masih mengenakan harga pasaran terkini dan tidak mengendahkannya.


"Kami dipanggil oleh Jawatankuasa Kerja VOP dan difahamkan 'Supplementary Agreement' perlu disediakan namun masih lagi berstatus quo.


"Kelewatan pelaksanaan VOP yang lebih jelas mengakibatkan kontraktor-kontraktor yang sedang menjalankan projek berasa tertekan kerana cara pelaksanaan masih samar dan setiap hari mereka terpaksa menanggung kenaikan harga bahan binaan.


"Jadi saya cadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kenaikan harga projek antara tiga hingga lima peratus untuk membantu kontraktor ini," katanya.


Beliau berkata, PKBM mengharapkan Belanjawan 2023 akan dapat memberikan impak yang besar kepada sektor pembinaan negara secara menyeluruh.


"Kita mohon projek-projek yang ada dalam industri binaan diteruskan dan akan ada pengumuman yang lebih baik, bukan hanya kepada kontraktor tapi kesan pelbagai kepada industri," katanya.


Sumber: Harian Metro

24 views

Comments


bottom of page