Profesion jurutera di Malaysia makin kronik!
- Dec 22, 2022
- 1 min read

Kuala Lumpur: Malaysia memerlukan lebih ramai jurutera untuk kelangsungan pembangunan di negara ini memandangkan nisbah jurutera kepada populasi rakyat ketika ini hanya 1:170 berbanding negara maju lain.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang merujuk maklumat daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), berkata, ini kerana isu gaji permulaan profesion teknikal di negara ini yang agak rendah berbanding negara luar antara faktor utama golongan muda kurang berminat untuk menceburi profesion itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, BEM mewujudkan satu pasukan petugas untuk mengkaji gaji permulaan jurutera di Malaysia.
"Selain itu usaha lebih agresif dan proaktif perlu direncanakan dengan melantik lebih ramai golongan profesion teknikal mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam.
"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disaran melibatkan kalangan profesional teknikal dalam tadbir urus syarikat seperti Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif," katanya dalam rakaman ucapan perasmian Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2022, tadi.
Nanta berkata, penguasaan teknologi menjadi pemangkin kepada pembangunan dan modenisasi sesebuah negara dengan golongan muda sebagai pewaris untuk menerajui negara pada masa hadapan.
Justeru katanya, adalah penting untuk negara memberi pendedahan berkaitan profesion teknikal kepada anak muda demi meneruskan legasi dalam landskap pembangunan negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya maju dan membangun secara mapan dalam era Revolusi Industri 4.0.
Mengenai HPTN 2022, beliau berkata, sambutan yang diadakan pada Disember setiap tahun itu menjadi antara wadah informasi untuk menyebar luas maklumat di samping memupuk minat golongan muda terhadap profesion teknikal.
Bertemakan 'Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan', sambutan tahun ini mengambil kira transformasi penggunaan teknologi terkini memandangkan profesion teknikal memberikan sumbangan signifikan kepada kemajuan negara.
Sumber: Harian Metro





Comments