Prestasi konraktor utama projek WCE tidak memuaskan
- Ridhwanisme
- Aug 27, 2021
- 2 min read

IPOH: Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati punca utama kelewatan pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) membabitkan jajaran di Seksyen 11, dalam Kawasan Dewan Undang Negeri (DUN) Trong di sini, disebabkan prestasi kontraktor utama tidak memuaskan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, bagi menangani isu berkenaan, pihak syarikat konsesi iaitu West Coast Expressway Sdn Bhd melalui kontraktor EPC mengambil alih bagi menyiapkan baki kerja pembinaan.
"Kerajaan negeri juga sudah diberi taklimat berkenaan isu ini dan pihak LLM memberi komitmen untuk menyiapkan 48 peratus lagi baki kerja projek ini mengikut garis masa baharu dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2024," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Jamilah Zakaria (BN-Trong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Zolkafly berkata, jajaran Seksyen 11 WCE yang melalui kawasan DUN Trong bermula dari Persimpangan Beruas hingga ke Persimpangan Taiping Selatan dengan panjang iaitu 35.5 km.
Katanya, peratusan kemajuan sebenar kerja pembinaan di Seksyen 11 bagi tempoh berakhir 25 Julai 2021 adalah 51.55 peratus berbanding jadual sepatutnya iaitu 99.30 peratus.
"Kerja pembinaan yang sedang dijalankan adalah kerja tanah, letupan batu, pembinaan struktur dan jambatan, perparitan, cerun dan lain-lain.
"Namun begitu, walaupun kerja pembinaan dibenar diteruskan, tetapi terdapat kekangan besar terhadap bekalan bahan binaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)," katanya.
Ditanya berkenaan perancangan pembangunan pekan kecil di sepanjang jajaran WCE, beliau berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sedang meneliti dan merangka perancangan yang strategik terhadap tiga lokasi yang dijangka bakal mendapat limpahan ekonomi.
"Tiga lokasi yang dimaksudkan adalah di Setiawan, Teluk Intan dan Hutan Melintang. Pelbagai aktiviti ekonomi baharu seperti pembuatan produk berasaskan pertanian, industri pembuatan dan pemprosesan makanan dan minuman.
"Malah, Industri Minyak dan Gas mampu dikembangkan sekali gus akan memacu kepada pengwujudan pekan kecil di jajaran ini," katanya.
Zolkafly berkata, selain daripada sektor perindustrian, kerajaan negeri menjangkakan perniagaan berasaskan tambah nilai juga dapat berkembang dengan adanya akses kemudahan logistik dan jalur lebar seperti E-Commerce Fulfillment Center.
"Model perniagaan seperti ini akan membuka pasaran lebih besar kepada peniaga desa untuk mengedarkan hasil jualan mereka melalui model perniagaan atas talian.
"Usaha Ini juga merangkumi aktiviti tambah nilai lain seperti aktiviti pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga yakin jajaran Seksyen 11 di kawasan Trong turut tidak akan ketinggalan dari mendapat manfaat ekonomi melalui usaha pengintegrasian Pusat Komersil serta kemudahan orang ramai di dalam satu kawasan yang lebih kondusif kepada peniaga dan juga masyarakat tempatan.
"Oleh itu, pihak PKNP diarah membuat perbincangan dan perancangan bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin tempatan dan peniaga sekitar.
"Perbincangan bersama-sama pihak LLM melalui syarikatkonsesi WCE Sdn Bhd juga perlu dijalankan agar satu pembangunan yang berimpak tinggi dapat diwujudkan di susur keluar WCE bagi jajaran ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments