top of page

Prekrema dakwa berlaku ketirisan integriti libatkan pegawai JKKP


Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia, Raziz Abdul Rahman (kanan) menunjukkan surat aduan yang diserahkan kepada Pengarah JKKP Pulau Pinang berhubung ketirisan integriti pegawai jabatan tersebut di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (Perkrema) mendakwa wujud ketirisan integriti dalam kalangan pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang.


Presidennya, Raziz Abdul Rahman berkata, isu ketirisan timbul apabila seorang operator kren membuat aduan kepada pihak persatuan berhubung tindakan sambil lewa seorang pegawai JKKP negeri itu melakukan pemeriksaan untuk memberi kelulusan perakuan kelayakan mesin angkat di sebuah tapak pembinaan perumahan di Jalan Sultan Azlan Shah pada 4 Ogos lalu.


Berdasarkan maklumat yang diterima oleh Perkrema menunjukkan pemeriksaan tidak dilakukan secara telus ekoran ketika kerja angkat berat beban dilakukan penunjuk aras imbangan tidak menunjukkan kapasiti berat barang yang diangkat namun kelulusan masih diberikan.


Kata Raziz, sepatutnya pegawai perlu lebih bertanggungjawab iaitu memanjat naik kren menara itu untuk melakukan pemeriksaan.


“Sebaik dapat aduan itu, kita salurkan kepada pihak JKKP agar mereka dapat ambil tindakan lanjut sekali gus mengelak berlaku kemalangan membabitkan kren menara di tapak pembinaan.


“Bagaimanapun, selepas tiga minggu aduan dibuat tiba-tiba operator tersebut dibuang kerja oleh pemaju tapak pembinaan tersebut dengan beberapa alasan tidak munasabah.


“Malah, seorang penyelia di tapak pembinaan itu turut memberi amaran bahawa mereka akan memastikan operator tersebut tidak dapat bekerja di mana-mana tapak pembinaan lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.


Tambah Raziz, berdasarkan tindakan pembuangan kerja dalam tempoh 24 jam serta ugutan itu pihaknya tidak menolak kemungkinan aduan yang dibuat berhubung pemeriksaan jentera angkat berat secara sambil lewa itu dibocorkan kepada pihak pemaju.


“Kami cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak JKKP Pulau Pinang dan mereka memaklumkan pegawai yang membuat pemeriksaan itu sudah diberikan amaran.


“Bagi saya, tidak adil di mana ahli persatuan kami dibuang kerja bila memberi maklumat membabitkan keselamatan semua pihak manakala pegawai terlibat hanya dikenakan amaran.


“Kami tidak mempunyai bukti sama ada pegawai itu dapat imbuhan daripada pemaju atau sebaliknya tetapi di sini timbul isu ketirisan integriti dalam kalangan pegawai JKKP,” kata beliau.


Menurut Raziz, persatuan dan operator kren itu sudah membuat laporan polis berhubung kejadian untuk rujukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


“Satu petisyen juga akan dilancarkan berhubung isu ini sebelum kami mendapatkan janji temu untuk berjumpa dengan Menteri Sumber Manusia bagi mengemukakan soal integriti pihak JKKP.


“Perkrema mahu siasatan telus dijalankan agar isu keselamatan di tapak pembinaan tidak diperkotak-katikan,” kata Raziz.



548 views

תגובות


bottom of page