Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka untuk rangkaian Rapid Rail yang merangkumi Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, Laluan MRT Kajang, Laluan MRT Putrajaya dan monorail.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, sejak awal tahun ini, Prasarana sudah mula merancang pelaksanaan sistem pembayaran terbuka bermula dengan rangkaian perkhidmatan rel di Lembah Klang.
"Sistem baru ini akan memperkenalkan penggunaan MyDebit dan Kad Kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri selain kaedah pembayaran sedia ada yang menggunakan kad Touch-n-Go ataupun Token.
"Kerja-kerja 'design and development' (reka bentuk dan pembangunan) dijangka bermula pada Mac 2024 dan jangka masa 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen bagi menerima kaedah pembayaran terbuka," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) mengenai peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang terutama dalam rangkaian Prasarana seperti LRT, MRT dan bas Rapid KL.
Mengulas lanjut, Loke berkata, menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap.
"Sekiranya perlu, sistem ini akan terus diperkembangkan dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran lain seperti kod QR dalam fasa pelaksanaan yang seterusnya.
"Di samping itu, untuk seluruh rangkaian KTMB Komuter di Lembah Klang, penaiktarafan sistem tiket atau Automatic Fare Collection (AFC) kini hampir selesai," katanya.
Beliau berkata, mulai pertengahan November 2023, pengguna KTMB juga dapat menikmati kemudahan baru dengan kos projek ini adalah sebanyak RM29 juta.
"Kesemua 57 stesen KTMB Komuter di Lembah Klang dilengkapi dengan alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, kad debit, Touch-n-Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS)," katanya.
Sumber: Harian Metro
Prasarana sedang muktamad pelan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka
Comments