top of page

Projek prasarana tumpuan penilaian pertengahan penggal RMKe-12


Projek prasarana tumpuan penilaian pertengahan penggal RMKe-12
RMKe-12 membentangkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM400 bilion untuk tempoh 2021 hingga 2025 - Foto fail NSTP

Projek prasarana tumpuan penilaian pertengahan penggal RMKe-12

KUALA LUMPUR: Pembentangan penilaian pertengahan penggal Pelan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) pada 11 September ini dijangka menghidupkan semula sektor pembinaan di Malaysia dengan beberapa projek prasarana penting mungkin akan disebut di Dewan Rakyat.


Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata RMKe-12 sebelum ini membentangkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM400 bilion untuk tempoh 2021 hingga 2025.


"Kami berharap projek-projek prasarana penting akan disebut dalam penilaian pertengahan penggal RMKe-12 seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Lebuh Raya Pan Borneo.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Penyertaan projek lain yang akan menjadikan penilaian pertengahan penggal kali ini lebih menonjol semestinya ialah mengembalikan stesen-stesen LRT3 bernilai kira-kira RM1 bilion yang sebelum ini disingkirkan daripada perancangan RMKe-12," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Adam berkata, nilai kerja pembinaan yang sudah dijalankan pada suku kedua 2023 didapati mencecah RM32.4 bilion, 8.1 peratus lebih tinggi berbanding suku sama tahun lalu.


Beliau berkata, keluaran ekonomi daripada sektor pembinaan berkembang 6.2 peratus berbanding setahun lalu, sekali gus menjadi suku tahun kelima yang melakar pertumbuhan tahunan.


Katanya, bekalan pekerja buruh yang mencukupi di samping tekanan kos yang mereda, membuat kontraktor berada dalam keadaan selesa untuk tidak hanya meningkatkan kemajuan pembinaan projek, tetapi turut bersedia menerima kerja baharu yang dapat mendorong kebolehlihatan perolehan mereka.


"Kami kekal optimis akan sektor pembinaan berikutan berakhirnya ketidaktentuan politik sejurus Pilihan Raya Negeri (PRN) melabuhkan tirainya.


"Melangkah ke hadapan, kerajaan kini boleh menumpukan usahanya untuk melancarkan projek-projek prasarana besar selain melaksanakan pembaharuan institusi.


"Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan sebarang projek prasarana akan mula berjalan paling awal pada suku keempat 2023. Pilihan utama kami ialah Gamuda, Sunway Construction dan Kerjaya Prospek," katanya.


Adam berkata, RHB Investment Bank berpandangan bahawa prestasi lemah sektor pembinaan pada suku kedua 2023 hanyalah bersifat sementara.


Beliau berkata, daripada 10 syarikat dikaji yang melaporkan keputusan, satu syarikat berjaya menepati jangkaan, dua syarikat mengatasi jangkaan dan tujuh lagi tersasar daripada mencapai anggaran yang ditetapkan.


Katanya, prestasi lemah ini berpunca daripada andaian bil peringkat siap sebelum ini yang terlalu optimistik, sungguhpun begitu, rata-rata kontraktor melaporkan pertumbuhan hasil yang baik.


"Malah, kami percaya bekalan pekerja buruh yang mencukupi seharusnya dapat mengiktiraf hasil projek dengan lebih tinggi apabila mereka meningkat naik pada lengkung S pada suku-suku akan datang," katanya sambil menambah bahawa RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'wajaran tinggi' terhadap saham-saham syarikat dalam sektor pembinaan.


Sumber: Berita Harian


Projek prasarana tumpuan penilaian pertengahan penggal RMKe-12

Comentários


bottom of page